Tenaga Nasional Berhad (TNB) menghentikan operasi lebih 382 pencawang elektrik di Pahang dan Terengganu hari ini berikutan banjir yang melanda kedua-dua negeri itu.

Dalam satu kenyataan di sini, TNB berkata akibat pemberhentian operasi itu, dianggarkan seramai 19,356 pengguna di kedua-dua negeri terbabit mengalami gangguan bekalan elektrik.

"Di Pahang, sebanyak 150 pencawang elektrik dihentikan tugas melibatkan beberapa kawasan iaitu Kuantan (120), Pekan (tiga), Maran (lapan), Jerantut (19) dan sebilangan kecil bekalan elektrik di Lipis, Muadzam dan Temerlong melibatkan 8,949 pengguna," menurut kenyataan itu.

Di Terengganu pula, pemberhentian itu melibatkan 232 pencawang elektrik merangkumi beberapa kawasan iaitu Geliga (140), Chukai (44), Al Muktafi Billah Shah (tujuh), Cheneh (39) dan Dungun (dua) yang melibatkan seramai 10,407 pengguna.

"Hanya bekalan elektrik di Kuala Berang, Terengganu sahaja sudah dipulihkan semula setakat hari ini, manakala di Segamat dan Mersing, Johor hanya sebilangan kecil pengguna diberhentikan bekalan elektrik," menurutnya.

Menurut TNB, untuk membantu mangsa bencana itu, sumbangan berbentuk barangan keperluan harian sudah disalurkan ke pusat-pusat pemindahan di Pahang, Johor dan Terengganu sejak semalam.

"Orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi semua pepasangan elektrik yang ditenggalami air bagi mengelak kejadian tidak diingini," menurutnya.

Sementara itu, kesemua sembilan empangan TNB di seluruh Semenanjung juga berada dalam keadaan baik dan tiada berlakunya limpahan air setakat pukul 12 tengah hari ini.

Empangan-empangan itu melibatkan Empangan Pergau (Kelantan), Empangan Kenyir (Terengganu), Empangan Temenggor, Empangan Bersia, Empangan Kenering dan Empangan Chenderoh di Sungai Perak dan Empangan Sultan Abu Bakar, Empangan Jor dan Empangan Mahang di Cameron Highlands.