KUALA LUMPUR: Cuaca yang semakin baik di Pantai Timur menyebabkan banyak kawasan terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu semakin pulih, namun kini mangsa berhadapan satu lagi masalah iaitu membersihkan kediaman.

Kerja-kerja pembersihan memerlukan tenaga yang banyak dan mengambil masa lama, lebih-lebih lagi kediaman yang dilanda banjir lumpur, selain yang mengalami banyak kerosakan.

Menyedari keadaan itu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menggerakkan kumpulan pertama sukarelawannya terdiri daripada kakitangan dan pelajar ke Kemaman, bagi Misi USIMPrihatin pascabanjir.

Seramai 47 sukarelawan terdiri daripada 39 pelajar dan lapan kakitangan bertolak ke Kemaman pada Jumaat dan akan berada di sana sehingga Ahad.

Ketua kumpulan itu, Umairatul Izzah Md Ariff Maricar, 24, yang juga penuntut Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, berkata antara lokasi yang menjadi fokus kumpulan itu ialah Kampung Air Puteh, Sekolah Kebangsaan Air Puteh dan Masjid Kampung Air Puteh.

Katanya, selain itu, pasukan berkenaan turut mengagihkan sumbangan barangan asas seperti makanan, keperluan bayi, ubat-ubatan, tilam dan bantal.

Beliau yang juga Exco Kesukarelawanan dan Kemanusiaan MPP USIM.berkata, sambutan yang diterima daripada penuntut USIM untuk bersama dalam program itu amat baik.

“Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bertanggjawab dalam menyelaras penglibatan pelajar, kita hanya memerlukan sekitar 30 orang sukarelawan sahaja bagi misi ini tetapi permohonan yang diterima mencecah 70 orang.

"Ini menunjukkan siswa kita begitu prihatin dan bersedia untuk membantu masyarakat yang memerlukan dan terjejas dengan bencana banjir ini.

“Mahasiswa sentiasa bersedia untuk menyantuni masyarakat dalam pelbagai cara dan kita sebelum ini turut membantu dalam misi pascabanjir akhir tahun lalu yang berlaku di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang," ujarnya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Pelepasan kumpulan sukarelawan pertama misi ke Terengganu itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Adnan Mohamed Yusoff di Pusat Sukan USIM, petang Jumaat.