Skip to main content

Malaysia

Bantahan pusat data Kota Damansara akan dibawa ke Jemaah Menteri - Ramanan

KUALA LUMPUR, 23 Jun -- Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berucap pada Majlis Penyerahan Geran Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Tahun 2026 Peringkat Semenanjung Malaysia di Sunway Putra hari ini._BERNAMA
Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia dalam kenyataan hari ini berkata langkah itu diambil bagi membincangkan keperluan mewujudkan garis panduan dan mekanisme lebih menyeluruh untuk penempatan pusat data, khususnya berhampiran kawasan kediaman. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Isu cadangan pembangunan sebuah pusat data di kawasan perumahan Kota Damansara akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri susulan kebimbangan yang disuarakan penduduk setempat, kata Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R. Ramanan.

Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia dalam kenyataan hari ini berkata langkah itu diambil bagi membincangkan keperluan mewujudkan garis panduan dan mekanisme lebih menyeluruh untuk penempatan pusat data, khususnya berhampiran kawasan kediaman.

“Saya menegaskan bahawa saya bukan menolak pembangunan atau pelaburan yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negara. Setiap pembangunan mesti dilaksanakan berdasarkan fakta, kajian yang menyeluruh serta proses libat urus yang bermakna dengan semua pihak berkepentingan,” katanya.

Ramanan berkata beliau turut mengemukakan surat bantahan rasmi kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 15 Julai bagi menyatakan pendiriannya berkaitan cadangan pembangunan itu, bagaimanapun tiada maklum balas rasmi diterima.

Selain itu, beliau berkata susulan aduan penduduk, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh telah menjalankan semakan dan penelitian terhadap cadangan pembangunan itu bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh.

Beliau berkata penelitian awal mendapati beberapa perkara perlu diberikan perhatian termasuk kesesuaian lokasi, kesejahteraan komuniti, kesan terhadap infrastruktur sedia ada dan alam sekitar serta kualiti hidup penduduk.

Beliau menegaskan pusat khidmat itu tidak pernah dimaklumkan mengenai cadangan pembangunan tersebut atau dilibatkan dalam sebarang sesi libat urus atau perbincangan berkaitan kepentingan penduduk Kota Damansara.

“Sebarang pembangunan berskala besar yang berpotensi memberi kesan kepada komuniti setempat seharusnya dilaksanakan secara telus, inklusif dan melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk wakil rakyat kawasan,” katanya.

Ramanan berkata beliau akan terus memantau perkembangan isu itu dan memastikan suara penduduk Kota Damansara dibawa ke setiap peringkat berkaitan sehingga penyelesaian yang adil, telus dan berpaksikan kepentingan rakyat dicapai.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement