KUCHING: Pengecualian bayaran sewa kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) ibarat ‘talian hayat’ buat peniaga daripada berdepan penutupan operasi.

Ia terutamanya selepas kumpulan tersebut menempuh detik sukar apabila sektor perniagaan tidak dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu.

Sumber pendapatan yang terjejas menyebabkan mereka tidak mampu untuk membayar sewa gerai sehingga ada segelintir mereka yang terpaksa gulung tikar.

Bagi peniaga di Kampung Boyan, Muhamad Hidayat Ibrahim, 40 tahun, dirinya bersyukur kerana Kerajaan Negeri mengambil inisiatif pengecualian bayaran sewa untuk para PKS yang beroperasi di premis-premis perniagaan milik badan-badan berkanun negeri seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) sehingga Disember 2021.

Kalau dulu katanya, perniagaan aksesori telefon miliknya boleh meraih pendapatan yang stabil dengan kedatangan pelancong yang tidak putus-putus di Kampung Boyan.

Bagaimanapun, kini perniagaannya bertukar suram dan yang tinggal hanyalah tapak perniagaan.

Mengambil manfaat pengecualian bayar sewa, kini Muhamad mengubah strategi perniagaan daripada usahawan telefon pintar kepada usahawan ais krim.

"Sebab utama saya mengubah perniagaan adalah jumlah pengunjung yang berkurangan.

"Perniagaan aksesori telefon mati (gulung tikar) tetapi tapak jualan saya masih ada disebabkan bantuan BKSS.

"Jadi, saya memulakan perniagaan baharu di sini untuk memastikan sumber pendapatan saya kembali," katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini. 

Senasib dengannya usahawan gunting rambut, Razaili Abdullah, 43 tahun, yang telah memulakan perniagaan sejak 2014 di Kampung Boyan.

Ujarnya, tanpa bantuan penangguhan bayaran sewa tersebut, tidak mungkin kedainya masih beroperasi sehingga sekarang.

Keadaan itu disebabkan ketiadaan permintaan terhadap perkhidmatan gunting rambut sejak pandemik melanda negara.

"Saya di sini menyewa dengan penyewa asal. Apabila ada bantuan penanguhan sewa, saya pun tidak perlu membayar sewa.

"Sekarang sudah hampir satu tahun saya tidak perlu membayar sewa," ujarnya.

Untuk rekod, Kerajaan Negeri telah menyalurkan bantuan berjumlah RM5.3 billion bagi membantu meringankan beban rakyat dan memulihkan semula ekonomi melalui BKSS 1.0 hingga BKSS 7.0 yang dilaksanakan sejak tahun lalu.

Di bawah BKSS 8.0 pula, kerajaan menyediakan peruntukan RM285.47 juta bagi tempoh enam bulan sepanjang tahun 2022 dan memberi bantuan secara sekali bayar.

Bagi usahawan PKS yang tidak menyewa tapak perniagaan pula, mereka turut tidak terkecuali menerima manfaat daripada BKSS sebanyak RM1,500 yang dibayar melalui Sarawak Pay.

Bagi Aliza Wati Adenan, 47 tahun, dia menggunakan bantuan tersebut untuk memulakan perniagaan.

"Saya gunakan bantuan tersebut untuk membeli kanopi, meja dan bahan-bahan untuk saya berniaga di depan rumah," jelasnya.

Selain itu, Nurul Izzati Shafiqa, 22 tahun, turut memanfaatkan bantuan tersebut bagi memulakan perniagaan air kopi di depan rumah, awal tahun ini.

"Dengan bantuan tersebut, saya dapat membeli mesin pengisar kopi sehingga menjadi mampu milik.

"Dengan mesin tersebut, saya boleh mempelbagaikan jualan dan menarik lebih ramai pelanggan," katanya.

Justeru, mereka berharap bantuan berterusan dapat diberikan bagi memastikan usahawan baharu bukan sekadar bertahan hidup, malah mampu mengembangkan lagi perniagaan.