ALOR SETAR: Kesemua 5,300 penjawat awam di negeri Kedah akan menerima bantuan khas sempena sambutan Aidilfitri sebanyak RM1,000 dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan bahawa, pemberian sumbangan itu akan membabitkan kesemua kakitangan kerajaan negeri termasuk pekerja kontrak, pekerja yang bercuti separuh gaji serta pekerja yang bercuti tanpa gaji, membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM5.3 juta.

Menurutnya, pemberian bantuan khas itu juga dibuat selepas pihak kerajaan negeri mengambil kira hasil kutipan suku pertama tahun ini yang mana meningkat lebih RM100 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Tambah beliau, sumbangan itu juga adalah sebagai penghargaan kepada kakitangan atau penjawat awam di Negeri Jelapang Padi itu yang bekerja keras selama ini terutama ketika tempoh pandemik COVID-19.

"Kerajaan negeri Kedah Darul Aman, (akan memberikan) bantuan khas Aidilfitri untuk kakitangan awam di Kedah (sebanyak) RM1,000 seorang. Beberapa negeri (sebelum ini) mengumumkan jumlah yang sama dengan Kedah.

"Kita pun ambil kira (jumlah berkenaan) kerana, kutipan hasil kerajaan negeri untuk penggal pertama tahun ini agak baik, berbanding tempoh sama tahun lepas, Januari hingga April 2020, berbanding tempoh sama tahun lepas dengan tahun ini, tahun ini meningkat lebih RM105 juta," ujarnya.

Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah yang dijadualkan tamat pada 31 Mei depan.

Menurutnya, lanjutan yang dibuat tahun lalu sehingga bulan September adalah disebabkan beberapa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan dan bagi tahun ini bayaran cukai berkenaan perlu dibuat dalam tempoh yang ditetapkan.