SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada kira-kira 3,600 penjawat awam di negeri itu yang akan dibayar selewat-lewatnya minggu kedua Januari depan.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun ketika mengumumkan perkara itu berkata ia bagi menghargai perkhidmatan yang diberikan penjawat awam dalam menambah baik urus tadbir kerajaan dan sentiasa komited menggalas tanggungjawab masing-masing.

"Ia sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam yang sentiasa mencurahkan khidmat bakti tanpa berbelah bahagi kepada kerajaan dan rakyat," katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2022 bertemakan 'Mendaya Upaya Ekonomi Rakyat' pada Persidangan Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di sini.

Beliau berkata skim pinjaman pembelian kenderaan dan komputer dengan faedah kosong peratus kepada mereka juga akan diteruskan dan sehingga 15 Nov lepas sebanyak 112 pinjaman kenderaan telah diluluskan dengan jumlah pinjaman RM3.3 juta, manakala 66 pinjaman pembelian komputer (RM238,000).

Kerajaan Negeri Sembilan hari ini membentangkan belanjawan defisit sebanyak RM88 juta dengan perbelanjaan berjumlah RM520 juta dan unjuran hasil dianggarkan sebanyak RM432 juta.

Dalam pada itu, Aminuddin (PH-Sikamat) berkata sebanyak RM13.5 juta diperuntukkan untuk sektor pertanian dengan RM2.4 juta daripadanya bagi program peningkatan hasil sayuran dan buah-buahan meliputi penyediaan input pertanian, perkhidmatan teknologi dan infrastruktur.

Jelasnya, kerajaan negeri juga akan meneruskan pelaksanaan projek pengukuhan infrastruktur pusat pengembangan pertanian yang dijangka mampu menggalakkan sektor agropelancongan dengan peruntukan RM2 juta, selain program peningkatan pengeluaran ternakan sebanyak RM2.07 juta.

Beliau berkata RM3.17 juta pula diperuntukkan bagi meningkatkan daya tarikan pusat pelancongan di negeri ini, manakala RM1.07 juta untuk kerja menaik taraf produk pelancongan serta penyelenggaraan hutan lipur sebanyak RM500,000.

Aminuddin berkata kerajaan negeri juga akan meneruskan pemberian bantuan kepada sekolah Tahfiz, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan swasta dengan peruntukan RM2 juta.

Persidangan DUN Negeri Sembilan yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini hingga 3 Dis depan, bersambung Isnin ini.

-- BERNAMA