COTABATO, FILIPINA: Tiga individu terbunuh manakala 15 lagi cedera selepas insiden tembakan tercetus beberapa jam sebelum pusat mengundi dibuka pada Isnin untuk pilihan raya bersejarah di wilayah separa autonomi Islam di selatan Filipina.
Pilihan raya itu menandakan kemuncak proses damai yang berlangsung secara berperingkat sejak penghujung 1990-an dan membawa kepada penubuhan Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM).
Ketua Polis Cotabato, Jibin Bongcayao berkata, kejadian berlaku sejurus sebelum tengah malam apabila penyokong daripada dua kumpulan politik yang bersaing bertelagah mengenai giliran untuk membuang undi terlebih dahulu.
Menurutnya, insiden itu bermula sebagai perebutan kedudukan dalam barisan antara dua kumpulan di luar sebuah sekolah yang dijadikan pusat mengundi di ibu wilayah berkenaan.
“Ia bermula dengan pertikaian mengenai kedudukan dalam barisan. Keadaan kemudian bertukar menjadi tolak-menolak sebelum tercetus pergaduhan dan akhirnya tembakan dilepaskan di kawasan yang sesak,” katanya.
Bongcayao berkata, individu yang terlibat dipercayai merupakan ahli parti-parti politik yang muncul daripada kumpulan pemisah Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), yang pernah berjuang selama beberapa dekad menuntut autonomi wilayah di negara yang majoriti penduduknya beragama Katolik itu.
BARMM sejak sekian lama berdepan keganasan politik dan persengketaan antara keluarga berpengaruh. Sehubungan itu, pilihan raya yang berlangsung secara aman dianggap sebagai satu kejayaan besar bagi wilayah tersebut.
Pihak berkuasa turut memperketat langkah keselamatan menjelang pengundian dengan lebih 20,000 anggota keselamatan ditempatkan di kawasan mengundi, selain pasukan tindak balas pantas disediakan bagi menangani sebarang insiden keganasan.
Bulan lalu, konvoi yang membawa Ketua Menteri Sementara BARMM, yang dilantik Presiden Ferdinand Marcos Jr., turut diserang hendap dan dihujani tembakan.
Dalam satu insiden berasingan, seorang lelaki meninggal dunia di hospital pada awal pagi Isnin selepas berlaku letupan berhampiran sebuah lagi pusat mengundi.
Polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian tersebut. - Agensi