KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan menyebabkan Lembaga Tabung Haji (TH) melupuskan harta miliknya mencecah RM860,308,770.51 atau SAR766,062,237 (riyal Saudi), antara 2015 dan 2017.
Jamil Khir yang memakai kot berwarna hitam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.
"Mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan," katanya yang berdiri dalam kandang tertuduh.
Mengikut semua pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Jerai berusia 65 tahun itu didakwa ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), menyebabkan Lembaga TH melupuskan harta miliknya, iaitu wang RM42,942,074 bersamaan SAR44.17 juta, RM288,172,134.64 (SAR250,041,622) dan RM529,194,561.87 (SAR471,848,615) kepada Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd.
Kesalahan didakwa dilakukan di pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya dan Kompleks Islam Putrajaya, pada 3 April 2015, 14 Disember 2016 dan 17 Ogos 2017.
Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian
BERITA LANJUT MENYUSUL