Kerajaan telah meluluskan bantuan khas RM600 seorang kepada 35,000 pemandu bas sekolah yang layak di seluruh negara .

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ia melibatkan peruntukan berjumlah RM21 juta.

"Bantuan khas itu adalah sebahagian daripada inisiatif PRIHATIN yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin 27 Mac lalu sebagai usaha Kerajaan berdepan krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19.

"Susulan itu, Kementerian Pengangkutan telah mencadangkan supaya peruntukan tambahan diberikan kepada mereka yang terkesan semasa pelaksanaan PKP," katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman sosial Facebook beliau pada Jumaat.

Bantuan akan diberikan kepada pemandu-pemandu bas sekolah di seluruh negara yang memegang lesen memandu sah dan memandu kenderaan daripada pengendali bas berdaftar.

"Kaedah pembayaran akan diumumkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), iaitu agensi di bawah MOT yang bertanggungjawab menyalurkan bantuan tersebut," ujarnya.

Kata Ka Siong, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak lebih tiga (3) bulan lalu bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada pelbagai kategori masyarakat di negara ini.

Antara kumpulan yang mendapat perhatian Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) ialah pengendali bas sekolah menerusi pelbagai langkah bagi membantu mereka berdepan waktu sukar.

"Pada 14 Mei 2020, saya sendiri telah berdialog dengan beberapa persatuan pengendali bas sekolah untuk mendapatkan maklum balas mereka seterusnya membuat tindakan susulan sewajarnya.

"Hari ini, Setiausaha Politik saya telah bertemu dengan mereka untuk meneruskan hubungan dengan pengendali bas sekolah seterusnya dapat menyelesaikan permasalahan berbangkit dalam industri," kata beliau.


Sumber Facebook wksbmenglish