KAHERAH: Fasa pertama Misi Bantuan Kemanusiaan Kecemasan 110 kontena Malaysia ke Gaza berlepas dari Kaherah ke sempadan Rafah, pada Selasa.
Misi membawa amanah rakyat Malaysia itu dimulai dengan 10 kontena yang keseluruhannya bernilai RM12 juta membabitkan 2,000 tan merangkumi barangan keperluan asas untuk rakyat Palestin.
Mewakili kerajaan, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, misi berkenaan dilakukan secara berperingkat dan turut melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan serta antarabangsa.
"Ini menunjukkan satu komitmen solidariti rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan berusaha untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk Gaza.
"Ini umpama satu talian hayat kerana sekarang ini makanan terpaksa dicatu di Gaza dan satu kotak biasanya bertahan untuk seminggu.
"Tetapi dalam situasi peperangan, ia terpaksa dicatu untuk bertahan tiga minggu dalam situasi yang mencabar.
"Kita juga berharap di peringkat antarabangsa, masyarakat dunia akan memastikan bukan sahaja penghantaran bantuan diteruskan, tetapi satu penyelesaian untuk menghentikan keganasan yang berlaku dan pengiktirafan serta pembebasan yang adil buat rakyat Palestin," katanya kepada pemberita ketika pelancaran Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia Ke Gaza, pada Selasa.
Pada Isnin, Astro AWANI melaporkan Misi Bantuan Kemanusiaan Kecemasan 100 Kontena Malaysia ke Gaza menerima penambahan 10 lagi kontena menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 110 buah kontena yang akan dihantar ke enklaf terkepung itu.
Menurut ketua misi, Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, penambahan 10 kontena awal itu melibatkan 200 tan barangan keperluan asas yang akan dihantar melalui persimpangan Rafah ke utara Gaza yang kini berhadapan dengan kebuluran.
"Kuantiti keseluruhan barang sebanyak 30 buah yang melibatkan 15 jenis barangan asas seperti beras, tepung, minyak masak, tuna serta barangan kit kebersihan diri.
"Kesemua 110 kontena dengan nilai RM12 juta boleh memanfaatkan seramai 60,000 keluarga di Gaza," katanya kepada pemberita di Kaherah, pada Isnin.
KERAJAAN MAINKAN PERANAN AKTIF LANCARKAN MISI
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, misi berkenaan merupakan yang keenam selepas kejayaan lima misi melalui Ops Ihsan yang dipimpin Wisma Putra sejak tercetusnya perang, pada 7 Oktober tahun lalu.
Tambah beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi arahan agar setiap Kementerian perlu mengumpul dana, membuat kutipan dan mencari jalan untuk membantu masyarakat di Gaza.
"Setiap kali bantuan mahu merentas sempadan, Perdana Menteri sendiri mainkan peranan untuk berhubung dengan pihak-pihak tertentu bagi memastikan kelancaran misi dan ia jelas menunjukkan komitmen Kerajaan
"Insya Allah sokongan ini akan diteruskan kerana saya fikir rakyat Palestin sangat memerlukannya dan segala pembelian barangan keperluan itu dilakukan di Kaherah dan ditempatkan di dalam gudang untuk pembungkusan sebelum dibawa ke sempadan Rafah untuk memasuki Gaza," ujarnya.
Misi berkenaan merupakan inisiatif antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) yang akan bantu kelancaran menguruskan semua prosedur termasuk kemasukan barangan bantuan ke Rafah yang agak sukar dan ketat.
Misi kemanusiaan yang diketuai Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) itu turut dijayakan dengan kerjasama Iman Care Malaysia, Pertubuhan Glokal Ihsan Malaysia, Persekutuan Persatuan Islam New Zealand dan Yayasan Al-Khair United Kingdom.
Pada 23 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan pelepasan misi itu berkata, Malaysia komited membantu Gaza dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi bagi memudahkan proses penghantaran misi itu ke Gaza.
Perang di Gaza memasuki fasa kritikal dengan Israel kini telah menyerang Rafah sekali gus berisiko meningkatkan angka korban rakyat Palestin yang telah mencecah lebih 34,000 orang sejak 7 Oktober tahun lalu.
Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran mengenai krisis kelaparan dan kebuluran akibat kekurangan makanan dan keperluan asas selain penyakit berjangkit yang merebak akibat ketiadaan barangan kebersihan diri di Gaza.
Afiezy Azaman
Tue May 07 2024
Nik Nazmi (dua, kiri) ketika upacara pelancaran Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia Ke Gaza, pada Selasa. -Foto ihsan Yapim
Jangan kaitkan isu perkauman, politik dengan sektor pelancongan - King Sing
King Sing berkata sikap perkauman juga boleh mengakibatkan para pelancong 'takut' untuk mengunjungi Malaysia, sekali gus menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
Trump dinobat 'Person of the Year' majalah Time
Edisi terkini turut memaparkan wawancara eksklusif bersama Trump yang berlangsung pada 25 November di resortnya, Mar-a-Lago, Florida.
Politik negara lebih stabil pada 2024
Tahun kedua di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan menyaksikan pentas politik negara lebih stabil berbanding tahun 2023.
Sektor pelancongan pulih, MOTAC manfaat Kepengerusian ASEAN 2025
Statistik terbaharu itu menunjukkan peningkatan sebanyak 5.6 peratus berbanding 32.35 juta pelancong dalam tempoh sama pada 2019.
Didesak letak jawatan: Beritahu mana kelemahan dan apa patut saya ubah? - Menteri MOTAC
Menurut King Sing, beliau mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak dalam usaha untuk menambah baik kelemahan.
Trump undang Presiden China hadiri majlis angkat sumpah bulan depan
Trump menghulurkan jemputan itu kepada Xi pada awal November, sejurus selepas pilihan raya.
Palestin sambut baik Ireland sertai kes genosid ke atas Israel di ICJ
Setakat ini, lebih 10 negara, termasuk Turkiye, Sepanyol, dan Mexico, telah menyertai kes ICJ terhadap Israel.
Parti pemerintah sokong usul pemecatan Presiden
Krisis politik di Korea Selatan semakin meruncing apabila parti pemerintah, People Power Party (PPP), memberikan sokongan kepada usul pemecatan Presiden, Yoon Suk Yeol.
Tentera Israel mula berundur dari selatan Lubnan
Pasukan Tentera Israel melaksanakan proses pengunduran pertama dari sebuah bandar di selatan Lubnan, yang digantikan dengan tentera Lubnan berdasarkan perjanjian gencatan senjata.
Ketua parti pemerintah Korea Selatan sokong usul pendakwaan terhadap Presiden Yoon
PPP turut menggesa penubuhan jawatankuasa etika bagi mempertimbangkan sama ada parti itu perlu meminta Yoon berundur daripada parti itu.
Bantuan kontena Malaysia ke Gaza berlepas dari Kaherah ke sempadan Rafah
Nik Nazmi berkata, misi dilakukan secara berperingkat dan turut melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan antarabangsa.