KUALA LUMPUR:Bermula Januari depan, individu yang mendapat penempatan pekerjaan melebihi 100 kilometer (km) dari tempat bermastautin bakal menerima bantuan secara one-off sebanyak RM1,000 menerusi program Mobility Assistance (Bantuan Mobiliti).

Berbanding sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, hanya perpindahan melibatkan antara wilayah dari Sabah ke Sarawak atau ke Semenanjung atau sebaliknya akan menerima jumlah itu. 

Sementara individu yang mendapat penempatan baharu kurang dari 100km pula katanya, akan menerima bantuan sebanyak RM500 secara one-off.

"Bila kita sebut mereka perlu berhijrah dengan keadaan ini, mereka memerlukan bantuan daripada kerajaan.

"Maka kerajaan memberi Bantuan Mobiliti daripada RM500 sehingga RM1,000 kepada golongan yang sedia berhijrah dari satu tempat ke satu tempat lain. Kalau tempat berhampiran iaitu kurang dari 100km kita bagi RM500 atau lebih daripada 100km kerajaan akan bagi RM1,000 sebagai bantuan mobiliti," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di sini, pada Ahad.

Saravanan menjelaskan, ia adalah sebagai inisiatif bagi mengalakkan golongan belia terutamanya untuk mencari peluang pekerjaan dari satu tempat ke satu tempat lain.

"Dalam keadaan kelembapan ekonomi, banyak syarikat di luar bandar gulung tikar meskipun daripada segi kos operasi tidak begitu tinggi.

"Jadi para pekerja perlu bersedia untuk mengubah mindset dengan bersedia untuk berhijrah," jelasnya.