TOKYO: Peralatan yang bakal diterima Malaysia menerusi geran bantuan Program Peningkatan Kapasiti Keselamatan (OSA) dari Jepun ialah dron dan bot pemintas untuk pemantauan dan pengawasan sempadan maritimnya.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata demikian ketika mengulas laporan berita bahawa bantuan itu adalah bagi meningkatkan keselamatan maritim Malaysia memandangkan negara-negara di Asia sedang berusaha menangkis ancaman terhadap perairan mereka.

Mohamad yang merupakan Menteri Pertahanan ketika permohonan bantuan OSA itu dikemukakan berkata, secara keseluruhan diputuskan bahawa bantuan itu adalah untuk pemantauan sempadan perairan negara yang luas terutamanya pantai timur Sabah dan tidak ada kena mengena dengan memperkukuhkan pertahanan negara daripada sebarang ancaman.

"Sempadan maritim kami adalah luas, kami tidak boleh mewujudkan pos pengawal di setiap pulau. Maka, kami melihat kepada teknologi sedia ada dan mendapati dron nampaknya berkesan, dan bot pemintas yang laju diperlukan untuk mengejar penceroboh dalam operasi menyelamat, katanya ketika ditanya mengenai laporan itu ketika program bersama diaspora Malaysia di sini pada Isnin.

Sabtu lepas, Mohamad menandatangani nota OSA itu mewakili Menteri Pertahanan dan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Jepun Fumio Kishida.

Sebelum penandatanganan dan pertukaran nota itu, diumumkan bahawa Jepun akan menyediakan peralatan pemantauan dan pengawasan kepada Malaysia. - BERNAMA