Ringkasan AI
- Pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah layak menerima Bantuan Khas Kewangan RM1,000 secara automatik tanpa perlu membuat permohonan.
- Kelayakan penerima dikenal pasti melalui data APAD dan LPKP, dengan bantuan disalurkan secara berfasa melalui pindahan wang terus.
- Pemandu yang tercicir boleh memohon melalui persatuan masing-masing, dan program ini akan diperluas ke seluruh negara secara berperingkat.
PUTRAJAYA: Pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah yang layak menerima Bantuan Khas Kewangan RM1,000 secara sekali bayar tidak perlu mengemukakan sebarang permohonan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kelayakan penerima akan dikenal pasti secara automatik menerusi pangkalan data sedia ada kerajaan.
Jelasnya, rekod berkenaan diperoleh daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).
"Tak perlu buat pendaftaran lagi, tak perlu isi borang, tak perlu beratur. Kita akan proses siapa yang layak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah Zon Tengah di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Loke memberi jaminan pemandu yang tercicir daripada senarai penerima masih berpeluang mendapatkan bantuan berkenaan.
"Jangan bimbang, tak perlu ada apa-apa pendaftaran.
"Mana tercicir, melalui persatuan hantar nama, kita akan sahkan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bantuan akan disalurkan secara berfasa menerusi pindahan wang terus kepada pemandu yang layak.
Seramai 500 pemandu dijemput menghadiri majlis berkenaan sebagai simbolik permulaan penyaluran bantuan yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 pada Jumaat lalu.
Program itu akan diteruskan di Pulau Pinang pada Sabtu ini sebelum diperluas ke zon selatan dan kawasan lain.
Loke berharap bantuan berkenaan dapat meringankan beban pemandu susulan peningkatan kos sara hidup, termasuk kos penyelenggaraan kenderaan, alat ganti dan insurans.