KUALA LUMPUR: Bantuan sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada mangsa kebakaran lapan unit Flat Sri Johor di Cheras.

Selain itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan bahawa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyediakan kediaman baru untuk mangsa yang terlibat.

"Seperti yang saya umumkan di Selangor pagi tadi, bantuan untuk mangsa bencana, kebakaran ini juga bencana, jadi kita akan memberikan RM1,000 kepada mereka yang terlibat, yang menjadi mangsa kebakaran.

"Ada lapan unit yang terlibat dalam kebakaran ini dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar memaklumkan kepada saya, pihak DBKL akan menyediakan rumah baru kepada mangsa yang terlibat.

"Bagi 32 unit lagi iaitu tingkat tiga ke bawah, pihak bomba akan lakukan siasatan, jika didapati tidak lagi merbahaya, mereka boleh pindah balik.

BACA: Flat Sri Johor, Cheras dijilat api

"Untuk sementara ini mereka akan ditempatkan di dewan sebelum dibenarkan balik dan yang lapan unit akan diberikan rumah baru," katanya selepas mengadakan lawatan di lokasi kebakaran.

Kebakaran di Flat Sri Johor di Cheras yang berlaku malam tadi berjaya dikawal oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur.