Bekalan makanan, barangan keperluan dan ubatan telah dapat disalurkan kepada mangsa banjir di 28 lokasi yang terputus hubungan di Kuala Krai hari ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata bekalan dihantar menggunakan helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berikutan keadaan cuaca baik.

"Alhamdulillah buat pertama kali hari ini cuaca baik membolehkan bantuan dihantar melalui helikopter," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Banggol Ghucil yang menempatkan lebih 2,000 mangsa banjir, di sini hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan itu berkata dua keutamaan yang diberi perhatian oleh pihak berkuasa iaitu operasi menyelamatkan mangsa banjir dan memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan disalurkan kepada mangsa.

Dalam pada itu, Mustapa berkata banyak perkara baharu yang dipelajari dan boleh diperbaiki dari segi pengurusan penghantaran bekalan makanan dan keperluan kepada mangsa banjir.

Katanya esok Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual meninjau keadaan banjir dan mangsa banjir di negeri ini.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menempatkan anggota di 20 pusat pemindahan di Kuala Krai dan mereka akan membantu pengurusan di tempat berkenaan.

Beliau berkata pasukan perubatan tentera juga akan digerakkan ke Kuala Krai.

"Kita akan gerakkan pasukan yang kini berada di Pasir Mas ke Kuala Krai dan akan ada penambahan anggota (perubatan).

"Pasukan ini akan melihat tentang kebersihan kerana selepas berlaku banjir akan adalah penyakit, kita tidak mahu penyakit menular," katanya kepada pemberita di Kuala Krai.