JOHOR BAHRU: Jumlah Sekatan Jalan Raya (SJR) di negeri ini ditingkatkan daripada 35 kepada 50 setelah polis mengesan terdapat banyak laluan tikus melibatkan beberapa lokasi di sempadan daerah.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata antara laluan tikus yang banyak dikesan adalah di sempadan daerah Segamat, khususnya di kawasan ladang kelapa sawit.

"Laluan tikus banyak bertumpu di Segamat iaitu laluan yang digunakan di ladang-ladang kelapa sawit. Jadi kita harus meningkatkan lagi kawalan di lokasi berkenaan.

"Selain itu, kita juga kesan laluan tikus di kawasan laut di bawah Op Benteng. Oleh kerana itu, jumlah SJR daripada 35 sebelum ini ditingkatkan lagi sehingga 50 untuk memastikan tiada yang lolos," katanya kepada pemberita selepas meninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) orang ramai di Pasar Awam Larkin Sentral di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laluan-laluan tikus yang dikesan pihak polis di negeri ini.

Bagaimanapun, Ayob Khan berkata setakat ini masih belum ada sebarang tangkapan dibuat pihaknya melibatkan SJR di laluan tikus.

Sementara itu, beliau berkata keanggotaan bagi pasukan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini melibatkan 1,420 individu dengan 1,254 daripadanya adalah pegawai dan anggota polis.

"Polis menerima sebanyak 25,222 permohonan rentas negeri sejak 5 hingga 11 Mei lepas, yang mana 24,693 daripadanya telah diluluskan manakala 529 yang lain ditolak.

"Semalam sahaja sebanyak 28,394 buah kenderaan kita periksa dan 39 daripadanya kita arah patah balik kerana tiada surat kebenaran. Malah, ada yang dikesan menggunakan surat kebenaran rentas negeri lama dan telah tamat tempoh, sebab itu kita buat pemeriksaan dan teliti betul-betul maklumat mereka di SJR," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak menyalahgunakan permohonan rentas negeri atau daerah serta menyambut perayaan Aidilfitri dengan mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

-- BERNAMA