Skip to main content

Malaysia

Dua ahli MPPWP Wangsa Maju diarah letak jawatan susulan video tular

Tangkap layar video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah pusat urut yang tular di media sosial.
Tangkap layar video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah pusat urut yang tular di media sosial. - Gambar media sosial

KUALA LUMPUR: Dua individu daripada Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Wangsa Maju diarahkan melepaskan jawatan masing-masing serta-merta susulan video tular berkaitan dakwaan meminta wang perlindungan daripada sebuah premis perniagaan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan Datuk Azman Abidin berkata keputusan terhadap R Vijeyndran dan G Paarthiydasan itu dicapai dalam mesyuarat Biro Politik PKR Wilayah Persekutuan hari ini

Advertisement

Beliau berkata langkah berkenaan diambil bagi memberikan laluan sepenuhnya kepada proses siasatan polis serta siasatan dalaman parti tanpa sebarang gangguan.

“Parti tidak akan bertolak ansur dan tidak akan melindungi mana-mana ahli atau wakil yang terlibat dalam amalan pemerasan, wang perlindungan atau salah guna kuasa. Keadilan mesti bermula dari dalam parti sendiri.

“Biro Politik juga mengarahkan Jawatankuasa Disiplin PKR Wilayah Persekutuan menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh dan melaporkan dapatan kepada Biro Politik dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata Biro Politik PKR turut mengingatkan semua ahli dan wakil parti bahawa kedudukan sebagai wakil penduduk adalah amanah rakyat yang perlu dilaksanakan dengan penuh integriti.

“Sebarang penyelewengan akan ditangani dengan tegas tanpa kompromi. PKR akan terus memperjuangkan tadbir urus yang bersih, telus dan berkeadilan di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Biro Politik menyarankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya terus memantau aktiviti pusat urut di kawasan Wangsa Maju dengan lebih teliti bagi memastikan tiada pelanggaran peraturan, undang-undang atau syarat lesen premis berlaku

Terdahulu, tular melalui media sosial satu video memaparkan dua individu, yang didakwa meminta wang perlindungan daripada sebuah premis perniagaan dipercayai di ibu negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video