Ringkasan AI
- Dua laporan polis diterima pada hari penamaan calon dan hari pertama kempen PRN Sarawak ke-13 semalam.
- Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, manakala satu laporan dirujuk kepada SPR.
- Polis Sarawak mengesahkan situasi keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang PRN Sarawak ke-13 setakat ini adalah baik dan terkawal.
KUCHING: Sebanyak dua laporan polis diterima pada hari penamaan calon dan hari pertama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 semalam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak CP Saifullizan Ishak berkata satu kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dibuka manakala satu laporan polis dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Pada semalam, polis Sarawak menerima 19 permohonan permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti politik.
“Setiap program dan aktiviti politik diluluskan akan dipantau bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifullizan berkata situasi keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses PRN Sarawak ke-13 setakat ini adalah baik dan terkawal.
“Polis Sarawak akan terus mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan, pematuhan dan penguatkuasaan secara menyeluruh sepanjang PRN Sarawak. Sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan secara tegas, adil dan berintegriti tanpa sebarang kompromi,” katanya.
SPR menetapkan 8 Dis sebagai hari pengundian awal manakala hari pengundian pada 12 Dis.
-- BERNAMA