ALOR SETAR: Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad mengarahkan pegawainya melakukan siasatan menyeluruh dari semua aspek bagi menuduh seorang lelaki yang membunuh anaknya yang berusia tiga bulan dalam kejadian di di Kampung Sungai Lintang Teluk Jawa, Mukim Padang Hang, di sini, pada Isnin lalu.

Katanya, ini selepas semakan rekod kesalahan ke atas suspek berusia 28 tahun itu mempunyai lapan rekod kesalahan lampau melibatkan dadah dan keganasan rumah tangga.

Menurut Wan Hassan, suspek yang didapati positif methamphetamine itu mempunyai rekod kesalahan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, anak tiri berusia enam tahun dan juga anak kandungnya berusia setahun telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi menjalani pemeriksaan bagi menentukan sama ada wujudnya elemen penderaan atau gangguan seksual.

“(Kedua-dua) anak perempuan itu kita hantar ke hospital untuk buat semakan dari segi kesihatan dan perubatan takut ada elemen gangguan seksual dan sebagainya dan saya belum mendapat maklum balas daripada pihak hospital,” kata Wan Hassan kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pelupusan barang kes dadah di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis masih menunggu laporan lengkap bedah siasat daripada pihak hospital.

Bagaimanapun, jelas Wan Hassan, siasatan awal polis mendapati terdapat kesan luka pada kepala bayi terbabit dipercayai hentakan daripada objek tumpul selain pengakuan daripada suspek menampar dan memulas telinga mangsa.

“Kita tengok ada kesan-kesan yang dikatakan punca daripada objek tumpul macam-macam kemungkinan tetapi kesan luka itu adalah daripada objek tumpul,” katanya.

Ketika kejadian, isteri suspek berusia 22 tahun dipercayai bergaduh dan dipukul bertindak keluar dari rumah berkenaan.

Wan Hassan berkata, pada masa ini, kedua-dua anak mangsa dalam jagaan mertua dan di bawah pengawasan polis.

Polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam Astro AWANI melaporkan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dibunuh bapa kandung.