Dilanda murung dan tertekan, anak gadis berumur 24 tahun lari dari rumah sewaktu keluarga pulang ke kampung di Melaka pada 30 Mac yang lalu.

Kini sudah lebih sebulan Nur Farahin Mohd Razali menghilangkan diri. Lari buat kali ketiga, menurut bapanya Mohd Razali Nasir. Keluarganya telah menggunakan pelbagai cara untuk menjejaki anak kedua dari empat beradik itu.

'Kami sudah guna pelbagai cara untuk cari anak kami. Kami harap sesiapa yang ada maklumat tolong bantu kami,' kata bapanya dengan muka yang agak kusut.

Razali berkata Nur Farahin atau nama panggilannya Angah berubah sikap sejak menamat pengajian di Kolej Islam Melaka, KUIM.

Lebih-lebih lagi apabila anaknya berkawan rapat dengan seorang lelaki yang sehingga kini tidak diketahui identitinya.

"Pulanglah Angah, abah dah maafkan Angah. Kita dah nak sambut Ramadhan tak lama lagi. Abah nak sangat kita sambut raya sekeluarga," rayu Bapa Farahin yang mengakui beliau sebelum ini agak tegas dan garang terhadap anaknya.

Ibunya Junaidah Ibrahim turut merayu agar anaknya pulang dengan segera.

"Mak risau sangat Angah, Angah keluar sehelai sepinggang. Tak bawak duit, IC semua. Dengarlah rintihan mak ini," kata ibunya dengan matanya yang bergenang.

Kata Junaidah, rumah pintu sentiasa terbuka untuk menerima anaknya itu pulang.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai gadis ini, sila hubungi nombor Mohd Razali Nasir di 010- 5224278 dan di alamat A-4-15 Pangsapuri Melor, Taman Bukit Kinrara Puchong Selangor.

Atau hubungi Astro AWANI di talian No Telefon 03 20702520.