MALAYSIA
Bapa didakwa 52 pertuduhan sumbang mahram dan rakam gambar bogel anak

Tertuduh (tengah) mengaku tidak bersalah atas 52 pertuduhan melakukan sumbang mahram, amang seksual dan merakam gambar bogel anak. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Seorang bapa kepada enam anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas 52 pertuduhan termasuk melakukan sumbang mahram, amang seksual fizikal dan merakam gambar bogel anak kandungnya.
Ringkasan AI
- Seorang bapa berusia 41 tahun didakwa atas 52 pertuduhan termasuk sumbang mahram, amang seksual fizikal dan pornografi kanak-kanak melibatkan anak kandungnya.
- Kesalahan dilakukan di rumah mereka di Melaka, antara Mei hingga Ogos 2025; mangsa dan adik-beradiknya melarikan diri ke Kuala Lumpur selepas mendedahkan penderaan kepada ibu mereka.
- Mahkamah membenarkan jaminan RM90,000 dengan syarat tambahan, termasuk larangan mengganggu mangsa dan saksi serta arahan melapor diri di balai polis.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan, jika disabit kesalahan.
Bagi 34 pertuduhan lain, tertuduh sebagai orang yang mempunyai hubungan amanah iaitu bapa kandung kepada mangsa sama didakwa dengan sengaja telah melakukan amang seksual fizikal.
Susulan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(b) dan 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (AKSTK 2017) dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Oleh itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebat bagi Seksyen 14(b) dan 14(a) AKSTK 2017, manakala penjara tidak melebihi lima tahun dan hendaklah dikenakan sebat tidak kurang daripada dua sebatan bagi Seksyen 16(1) AKSTK 2017.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Melaka antara jam 6.50 pagi sehingga 7.15 pagi pada 12 Mei 2025 sehingga 2 Ogos lalu.
Dia juga berdepan satu pertuduhan di bawah Seksyen 7 AKSTK 2017 atas kesalahan membuat pornografi kanak-kanak dengan merakam dua keping gambar yang memaparkan mangsa sama dalam keadaan tidak berpakaian di dalam bilik air ketika anaknya itu berumur 17 tahun 11 bulan.
Bagi kesalahan itu dia berdepan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan hukuman sebat tidak kurang daripada lima sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan berjumlah RM20,000 bagi setiap 52 pertuduhan berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Pihak pendakwaan turut berhujah supaya tertuduh melapor diri setiap dua minggu di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan rendah dengan alasan hanya bekerja sebagai tukang baik pulih peti sejuk dan mesin basuh dengan pendapatan bulanan RM8,000.
Dia turut merayu dengan alasan tertekan sehingga mahu membunuh diri kerana hilang maruah sebagai bapa apabila dituduh melakukan kesalahan tersebut.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM90,000 beserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Selain itu, mahkamah menetapkan 18 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami