BANGI: Seorang bapa didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan membunuh anak kandung lelakinya berusia enam bulan di sebuah unit pangsapuri, Ahad lalu.

Tertuduh, pengawal keselamatan, Mohamad Aizat Samin, 25, yang memakai baju T berwarna hitam, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Bagaimanapun, pengakuan tidak direkodkan kerana kes bunuh itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Isteri tertuduh yang berada di galeri awam menangis sebaik pertuduhan terhadap suaminya, dibacakan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Muhammad Aysar Wildan Mohamad Aizat berusia enam bulan di sebuah unit pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma, Beranang antara jam 8 malam, 14 April hingga 7.40 pagi, 15 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon satu tarikh untuk laporan kimia, toksikologi dan forensik tempat kejadian.

Tertuduh diwakili peguam, Arif Azmi.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 Mei ini bagi sebutan semula kes.

Pada Rabu lalu, pihak polis berkata, lelaki berkenaan membuat laporan pada jam 8.52 pagi memaklumkan bayi itu tidak sedarkan diri di pangsapuri terbabit.

Pemeriksaan awal mendapati, tiada luka pada badan bayi itu, namun hasil bedah siasat mengesahkan terdapat kecederaan bahagian kepala, yang bukan disebabkan oleh kemalangan.

Suspek ditahan di Jabatan Forensik Hospital Kajang, sebelum saringan air kencing yang dijalankan mendapati lelaki itu positif dadah jenis syabu.

Mohamad Aizat yang memakai baju T berwarna hitam dibawa ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini pada Jumaat, bagi menghadapi satu pertuduhan membunuh anak kandung lelakinya, berusia enam bulan di sebuah unit pangsapuri, Ahad lalu. - Sinar Harian