TAIPING: Seorang penoreh getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping pada Selasa atas pertuduhan cuai membiarkan anak perempuannya memakan biskut mengandungi kanabis, minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Firdaus Hassim, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai seorang bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun tujuh bulan didapati bertindak mendedahkan dan secara cuai membiarkan kanak-kanak itu memakan biskut buatannya yang mengandungi dadah jenis kanabis yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan kesihatan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bagan Lawin, Gerik sekitar jam 7.30 petang pada 29 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohd Waffy tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh berikutan ia melibatkan kesalahan serius selain mengambil kira kanak-kanak itu tinggal bersamanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan kes disebut semula di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada 6 Julai depan bagi menunggu laporan perubatan kanak-kanak dan lantikan peguam.

Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dikejarkan ke Klinik Kesihatan Lawin di Gerik selepas termakan biskut coklat berperisa ganja buatan bapanya dalam kejadian Isnin minggu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, laporan diterima daripada pembantu perubatan klinik berkenaan sekitar jam 10.26 malam berikutan keadaan mangsa yang mengalami sesak nafas, pening kepala dan loya. - Sinar Harian