BERBANDING hari –hari penghargaan lain yang diraikan sepanjang tahun, barangkali kedatangan Hari Bapa sedikit terlewat tercatat di dalam kalendar. Paling sibuk tentunya pada bulan Mei, dianggap bulan penghargaan paling banyak. Hari Ibu dirai pada bulan Mei; begitu juga Hari Guru, disambut 16 Mei setiap tahun. Hari Pekerja jatuh setiap tahun pada 1 Mei, disifatkan hari khusus untuk buruh memperingati harga keringat mereka selama ini.

Sambutan Hari Bapa

Setiap tahun, hari khusus untuk memperingati kaum bapa jatuh pada tarikh 17 Jun. Seperti juga Hari Ibu, ia berubah-ubah tarikhnya, disesuaikan dengan hari minggu ketiga pada bulan Jun setiap tahun. Maka, jika dibuat perkiraannya, Hari Bapa tahun ini jatuh pada 16 Jun.

Sama seperti hari ibu, sambutan hari bapa bermula di Amerika Syarikat (AS). Sejarahnya, idea memperingati dan meraikan Hari Bapa dicetuskan oleh seorang wanita, Sonora Dodd namanya, berasal dari daerah Spokane.

Kepada Dodd, beliau mahu sesuatu dilakukan untuk mengenang bapanya, William Smart, seorang veteran perang saudara yang ditinggalkan untuk membesarkan enam anak secara bersendirian di sebuah ladang kecil di Spokane. Ideanya itu menambat hati sekali gus mendapat tempat untuk diraikan. Mengikut sejarahnya juga, Hari Bapa yang pertama disambut pada 1910 dengan mengambil sempena tahun kelahiran Smart sendiri.

Sejak tahun 1972 ia disambut setiap tahun secara besar-besaran, apabila bekas Presiden AS, Richard Nixon menandatangani satu undang-undang awam yang menjadikan hari tersebut dicatat di dalam kalendar.
Malaysia bersama negara-negara lain seperti AS, Afrika Selatan, Argentina, Bahamas, Bangladesh, Belanda, Bulgaria, Chile dan lain-lain lagi menetapkannya pada hari Ahad ketiga pada bulan Jun untuk sambutannya.

Kerana sifatnya yang diraikan secara besar-besaran bermula 1972, Hari Bapa _ sama sahaja dengan Hari Ibu _ sudah menjadi sesuatu yang global dan tidak eksklusif kepada mana-mana ajaran atau fahaman agama. Malah, pada tahap terburuk, tidak keterlaluan dikatakan, hari penghargaan ini jadi medan kaut untung oleh syarikat-syarikat perniagaan yang berlindung di sebalik iklan kewajaran sambutan Hari Bapa atau Hari Ibu . Ya, benar, sambutan ini mungkin dicetuskan oleh orang Kristian tetapi bukanlah sesuatu yang terkandung dalam mana-mana kitab atau ajaran pokok agama tersebut. Apa yang lebih penting, kita mesti tahu bagaimana memanfaatkan Hari Bapa tanpa mencemarkannya dengan perkara-perkara yang dilarang oleh agama.

Tetapi tidak seperti ibu, barangkali ada yang bersetuju bahawa jasa dan pengorbanan bapa tiada nampak oleh pandangan mata kasar. Mungkin ramai yang senada bahawa, jasa ibu dan bapa itu sama penting di mana ia tetap setara wajar dihargai setiap masa, wajib diingati selagi nyawa bersama badan.

Kalau ibu adalah ratu, bapa pula hero di hati dan jiwa kita. Dengan ibu, sejumlah wang tidak mungkin dapat membayar harga setitik susu yang diminum bagi menjadikan kita seorang manusia. Bersama ayah, kemewahan yang melimpah di dunia ini langsung tidak sepadan dengan harga setitis keringat bapa membanting tulang mencari rezeki membesarkan kita. Malah, pujangga juga ada menyebut, kalau kasih ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah pula sanggup berkorban nyawa.

Ketika ibu diingati kerana sukarnya mereka menampung menjaga nyawa di dalam rahim serta menahan sakit melahirkan kita, bapa pula dikenang sebagai penasihat terbaik di dunia sekali gus memandu anak-anak amanah Allah ke jalan yang tidak menyimpang.

Lupakan bapa jenis `haruan makan anak' ; bapa tidak tetap pendirian atau gemar menyerahkan segala tanggungjawab mencari rezeki kepada pihak lain. Itu bukan bapa yang hero di mata kita bukan?
Tetapi, cuba alihkan pandangan dan sorotan kita kepada jenis ketua keluarga yang mulia hatinya dan sanggup menjadi `bapa' kepada anak-anak lain.

Ambil contoh, kalau ingatan kita masih segar, Ahmad Khariri Al-Hadi Md. Yusop, 27, yang sanggup menyerahkan sebelah hatinya demi memberi sinar kehidupan kepada bukan darah dagingnya - adik Mohd Yohit Mohd. Farhan yang menghidap penyakit bengkak hati. Peristiwa ini berlaku pada bulan Mei 2005. Walaupun Mohd Yohit telah meninggal dunia, kemuliaan hati Ahmad Khariri, seorang bapa kepada tiga anak tetap diingati.

Begitu juga, sejarah tercatat, pengorbanan agung Nabi Ibrahim, sanggup menyembelih anaknya, semata-mata mahu membuktikan ketaatan kepada Allah s.w.t.

Bapa sebegini yang seharusnya dijadikan contoh teladan. Begitu juga bapa yang hebat di luar sana yang berjaya mengharungi cabaran baru tugas sebagai pemandu hidup, membesarkan anak-anak sehingga generasinya berjaya. Pengorbanan daripada bapa seperti ini adalah cerminan kasih seorang ayah ibarat laut tidak bertepi. Selamat Hari Bapa kepada semua bapa di dunia ini.