MALAYSIA
Bapa tiri, ibu kandung didakwa aniaya anak OKU hingga mati

Tertuduh Manuel (tengah) dan isterinya Easta Masa (depan, tengah) didakwa aniaya anak OKU hingga mati di Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin.
MELAKA: Seorang pekerja restoran dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tuduhan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) yang juga anak kandung wanita itu hingga maut.
Ringkasan AI
- Sepasang suami isteri, Manuel Pangawat dan Easta Masa Pangala, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka atas tuduhan mendera anak perempuan OKU berusia sembilan tahun sehingga maut, yang merupakan anak kandung tertuduh wanita.
- Kesalahan didakwa berlaku antara akhir April hingga 23 Jun 2025 di sebuah rumah di Taman Kota Laksamana, dan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, dengan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
- Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 bagi Manuel dan RM20,000 bagi Easta Masa dengan syarat tambahan, serta menetapkan 24 Ogos untuk sebutan semula kes; mangsa dilaporkan mengalami patah kaki dan kesan lebam sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kota Laksamana, Taman Kota Laksamana di sini, pada jam 9.45 pagi antara akhir April 2025 hingga 23 Jun lalu.
Sehubungan dengan itu kedua- dua tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun atau dengan denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan pertuduhan melibatkan pemenjaraan sehingga 20 tahun selain mangsa merupakan anak kandung tertuduh kedua.
Hujahnya lagi, namun sekiranya mahkamah ingin mempertimbangkan jaminan pendakwaan mencadangkan jaminan RM50,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan.
Dalam prosiding itu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan terhadap mereka.
Bapa seorang anak itu, merayu jaminan rendah atas alasan perlu bekerja semula untuk membayar hutang terhadap majikannya.
Manakala isterinya, Easta Masa yang merupakan suri rumah turut merayu kerana anak bongsunya berusia tiga tahun kini terpaksa dijaga sepupunya di kuaters Penjara Kajang selain urusan pengebumian anak keduanya yang maut belum selesai dan mayat masih berada di Jabatan Forensik Hospital Melaka.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi Manuel dengan seorang penjamin manakala RM20,000 bagi Easta Masa dengan dua orang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu hadir setiap kali sebutan kes dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Selain itu, mahkamah juga menetapkan 24 Ogos depan untuk serahan dokumen termasuk laporan kimia dan bedah siasat serta lantikan peguam.
Sinar Harian pada 23 Jun lalu melaporkan seorang kanak-kanak perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) maut dipercayai didera.
Menurut sumber, insiden yang menimpa kanak-kanak malang itu terbongkar selepas polis menerima panggilan daripada sebuah hospital swasta sekitar jam 9.45 pagi.
Difahamkan pihak hospital memaklumkan terdapat kesan yang disyaki akibat dera selepas mangsa dihantar oleh bapa tirinya untuk mendapatkan rawatan di pusat perubatan berkenaan.
“Lebih menyedihkan, pemeriksaan mendapati mangsa mengalami patah kaki serta kesan lebam di kepala dan badan,” katanya.
Tambahnya, mangsa yang berada dalam keadaan parah dipercayai meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan hospital berkenaan.
https://www.sinarharian.com.my/article/737460/berita/semasa/bapa-tiri-ibu-kandung-didakwa-aniaya-anak-oku-hingga-mati
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami