Skip to main content

Dunia

61 peratus rakyat AS anggap konflik dengan Iran satu kesilapan - Tinjauan

IRAN
Konflik di Iran adalah “tidak popular dalam kalangan rakyat Amerika seperti Perang Iraq semasa tahun keganasan memuncak pada 2006 dan Perang Vietnam pada awal 1970-an". - Gambar fail/Reuters

WASHINGTON: Majoriti rakyat Amerika Syarikat (AS) berpendapat penggunaan kekuatan ketenteraan negara itu terhadap Iran adalah satu kesilapan, menurut satu tinjauan baharu yang diterbitkan pada Jumaat, lapor Xinhua.

Sebanyak 61 peratus rakyat AS menyatakan penggunaan kekuatan ketenteraan terhadap Iran adalah satu kesilapan, dengan kurang daripada dua dalam 10 responden percaya tindakan AS di Iran berjaya, menurut tinjauan Washington Post-ABC News-Ipsos.

Advertisement

Kira-kira empat dalam 10 responden berkata tindakan itu tidak berjaya, manakala empat dalam 10 lagi berpendapat masih “terlalu awal untuk dipastikan,” menurut tinjauan berkenaan.

Konflik di Iran adalah “tidak popular dalam kalangan rakyat Amerika seperti Perang Iraq semasa tahun keganasan memuncak pada 2006 dan Perang Vietnam pada awal 1970-an,” menurut The Washington Post.

Tinjauan itu juga mendapati sokongan terhadap konflik tersebut dalam kalangan anggota Parti Republikan kekal tinggi, dengan 79 peratus menyatakan ia merupakan keputusan yang tepat.

Selain itu, kebanyakan rakyat AS percaya tindakan ketenteraan terhadap Iran membawa potensi risiko.

Antaranya, 61 peratus berpendapat ia akan meningkatkan risiko keganasan yang menyasarkan rakyat AS, 60 peratus percaya ia akan meningkatkan kemungkinan ekonomi AS jatuh ke dalam kemelesetan, manakala 56 peratus berkata tindakan itu meningkatkan risiko melemahkan hubungan dengan sekutu AS.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video