Skip to main content

Politik

Kemelut DUN Negeri Sembilan: Sidang Khas perlu diadakan, undi tak percaya terhadap Aminuddin

Jalaluddin Alias, UMNO. Astro AWANI
Jalaluddin ditemui sempena Konvensyen 80 tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Sabtu. - Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu diadakan bagi memutuskan kemelut politik di Negeri Sembilan, termasuk undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada Speaker DUN, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman agar Sidang Khas itu dibuat secepat mungkin.

Advertisement

"Itu akan diputuskan oleh Yang di-Pertua Dewan. Kita telah menghantar surat untuk memohon agar sidang khas ini diadakan segera. Kemelut ini tidak boleh berpanjangan kerana ia akan menggugat urus tadbir kerajaan negeri," katanya ketika ditemui sempena Konvensyen 80 tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Sabtu.

Ditanya apakah tindakan UMNO Negeri Sembilan selepas ini, Jalaluddin berkata beliau sedang melihat perkembangan di peringkat pimpinan tertinggi terlebih dahulu, termasuk keputusan dan formula yang akan diambil.

"Yang penting bagi saya adalah memberikan penjelasan kepada rakyat, dan penjelasan itu perlu sampai ke peringkat akar umbi.

"Saya juga tidak mahu perkara ini disentuh secara berleluasa sehingga melibatkan institusi dan Raja-Raja Melayu kerana ia boleh mencemarkan reputasi kedua-dua entiti tersebut," tambah beliau.

Mengulas lanjut, Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata, BN mempunyai barisan calon yang berkaliber untuk menggalas tugas sebagai Menteri Besar, jika perkara itu perlu dilakukan bagi menyelesaikan kemelut ketika ini.

"Ramai yang layak jadi Menteri Besar. Kita ada 14 kerusi (iaitu) 14 ADUN dalam kalangan UMNO-BN.

"Daripada jumlah itu, 13 ADUN dalam kalangan lelaki beragama Islam (yang layak)," katanya.

Sebelum itu, Jalaluddin ketika menyampaikan ucaptama menegaskan bahawa UMNO Negeri Sembilan rela menjadi pembangkang daripada duduk dalam kerajaan untuk melihat apa saja kesalahan yang dilakukan Aminuddin.

Must Watch Video