KUALA KANGSAR: Lelaki yang ditahan selepas menumbuk anak kandungnya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Isnin atas kesalahan memiliki senjata berbahaya minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Zairi Mohamad Nawi, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, duda yang bekerja kampung itu didapati dalam milikannya senjata berbahaya iaitu sebilah parang berhulu plastik berwarna merah tanpa sebarang maksud yang sah.

Perbuatan itu dilakukan di tepi jalan Kampung Perah, Gerik dalam daerah Hulu Perak sekitar jam 3.45 petang pada 30 Oktober 2023.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukan hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan mencadangkan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh atas alasan kesalahan itu berat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan sebarang rayuan dan memaklumkan kepada mahkamah tiada ahli keluarga yang hadir untuk beri jaminan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tiada jaminan ditawarkan dan menetapkan 6 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Tertuduh telah ditahan selepas polis menerima satu laporan daripada ahli keluarga mendakwa tertuduh memukul anak lelakinya berusia 12 tahun.

Dalam kejadian sekitar jam 5 petang pada 29 Oktober itu, tertuduh dikatakan secara tiba-tiba bertindak menumbuk dan menendang bahagian belakang badan kanak-kanak itu hingga mengakibatkan kecederaan tisu lembut pada bahagian belakang badan dan paha.

Lelaki itu juga bertindak melibas parang yang berada di tangannya hingga hampir mengenai mangsa. - Sinar Harian