ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menempelak pihak yang meletakkan kesalahan keatas pentadbirannya berhubung kecuaian di baraj Sungai Muda sehingga menyebabkan bekalan air kepada penduduk di negeri itu dan Pulau Pinang terjejas.

Menurut beliau, tudingan terhadap kesalahan melibatkan pemantauan baraj berkenaan perlu dihalakan kepada kementerian yang terlibat.

Ini kerana jelasnya, Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) berada di bawah kelolaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang merupakan salah satu agensi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

Beliau juga berharap NRECC dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap kakitangan PLSM yang bertugas pada hari kejadian dimana mereka tidak mengendahkan pemakluman daripada Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) berhubung paras air yang semakin menurun.

Tambahnya, SADA telah memaklumkan kepada beliau bahawa agensi berkenaan sudah memberi pemakluman kepada pihak yang menguruskan baraj Sungai Muda sejak pukul 10 malam, Sabtu lalu berkaitan keadaan semasa paras air.

Bagaimanapun, hanya pada jam 7 pagi keesokan harinya, pintu baraj yang rosak itu ditutup secara manual setelah terbiarkan terbuka selama 11 jam.

"Saya ingin beri penjelasan bahawa PLSM ini sebuah agensi pengurusan Lembangan Sungai Muda dibawah Jabatan Pengairan dan Saliran, di bawah Kementerian Sumber Asli, bukan agensi kerajaan negeri.

"Jadi yang sering salah faham dan dibina naratif bahawa kegagalan kerajaan negeri untuk kawal selia baraj itu (tidak benar), baraj itu 100 peratus di bawah PLSM, di bawah JPS, Kementerian Sumber Asli, bukan Lembaga Sumber Air, bukan SADA, bukan BPEN, bukan di bawah Pejabat Menteri Besar, jadi oleh kerana berada di Kedah, jadi kita terima keadaan itu sebagai kecuaian di pihak PLSM," katanya.

Sanusi berkata demikian ketika sidang media di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa telah menyembah maklum mengenai situasi yang berlaku kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pagi ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa sebanyak 251,800 akaun pengguna di tiga daerah di Kedah terjejas membabitkan Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling bermula 14 Mei lepas.

SADA dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa gangguan bekalan air tidak berjadual itu bermula pada jam 7.25 pagi disebabkan penurunan mendadak paras sungai yang berpunca daripada kerosakan pintu baraj Sungai Muda.

Menurutnya, kejadian luar jangka itu mengakibatkan pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Pinang Tunggal, Sungai Petani dan LRA Kulim Hi-Tech terpaksa dihenti tugas buat sementara waktu sehingga paras sungai kembali stabil.