Keperluan makanan serta bekalan barangan basah termasuk ikan mencukupi bukan hanya pada perayaan Aidilfitri sahaja malah melibatkan perayaan yang lain dalam waktu terdekat.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya sentiasa memantau bekalan berkenaan sepanjang tempoh musim perayaan ini.

Katanya, setakat ini juga pihaknya tidak menerima aduan berhubung kenaikan harga barang yang dilakukan peniaga tempatan.

“Ikan pun mencukupi, jadi kita harap dapat sampai ke Hari Raya, bukan sahaja Hari Raya, Hari Gawai, Hari Keamatan dan seminggu berturut-turut... itu yang kita prihatin sekarang.

“Setakat ni tidak ada aduan, cuma baru-baru ini kenaikan harga dibuat peniaga asing yang menjual barangan runcit namun kita telah ambil tindakan,”katanya

Justeru itu, Rosol meminta pengguna melaporkan kepada pihak berkuasa dengan jika mengesan berlaku kekurangan bekalan di pasaran.

Sementara itu, Rosol berkata, pihaknya turut memberi jaminan bekalan minyak masak semasa musim perayaan mencukupi termasuk di kawasan pedalaman.

Jelasnya, bekalan itu dijamin tidak terputus sehingga sehingga selepas sambutan perayaan Aidilfitri.