Barisan Nasional (BN) bukan parti tua seperti didakwa pakatan pembangkang sebaliknya parti pemerintah itu memiliki kepimpinan yang lebih bertenaga dan berwawasan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelbagai usaha dilakukan pembangkang bagi menyakinkan rakyat untuk mengubah kerajaan

Antaranya dengan menggunakan slogan seperti ‘Ubah’ dan ‘Tukar Pemimpin’.

"Rakyat tahu walau parti sudah mentadbir negara 55 tahun lamanya parti tidak tua pemimpin bertukar bersiilih ganti tetapi lebih bertenaga daripada dahulu, "

"Parti masih berupaya dan berkemampuan, ada wawasan ada cita-cita dan lebih penting memahami apa kehendak rakyat pelbagia kaum seperti Melayu, Cina, India dan Iban," katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Madrasah Islahiyah Addiniyah, Taman Ibu Kota Wangsa Maju, pada Jumaat.

Tambah Muhyiddin beliau bagaimanapun yakin rakyat kini lebih bijak dalam membuat pertimbangan kerajaan yang lebih baik.

Jelasnya kerajaan BN telah berjaya membuktikan mereka mampu memenuhi kehendak rakyat dengan pelbagai program transformasi.

Antaranya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang bernilai RM500 kepada golongan berpendapatan rendah.

Tambah Muhyiddin bantuan tersebut mungkin akan ditambah sekiranya BN menang pada pilihanraya akan datang.

Beliau dalam masa sama mengingatkan rakyat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi memastikan BN mendapat mandat penuh.

Beliau turut menyerahkan bantuan bernilai RM52 ribu kepada 26 keluarga yang terjejas dalam kebakaran di Kampung Puah baru-baru ini.