MELAKA: Kerajaan negeri menerusi syarikat pengendali bas Panorama Melaka Sdn Bhd (Panorama) menyasarkan kira-kira 290,000 penumpang setahun menggunakan perkhidmatan Bas Singgah-Singgah yang mula beroperasi hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata perkhidmatan berkonsepkan bas pelancongan elektrik yang pertama diperkenalkan itu merupakan ikon dan produk baharu Melaka yang dilihat mampu menarik lebih ramai pengunjung sama ada dari dalam atau luar negeri tersebut.

"Bas Singgah-Singgah berkonsepkan bas pelancongan yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dilihat mempunyai daya tarikan tersendiri selain mengaplikasikan teknologi hijau bebas tanpa karbon monoksida.

"Projek ini juga merupakan antara projek perintis Hijau di bawah Green Mobility dan ia juga merupakan satu daripada elemen dalam Smart Melaka Blueprint 2035," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran bas itu di Melaka Sentral pada Khamis.

Hadir sama Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman serta Pengerusi Panorama Melaka Datuk Roslan Ahmad.

Sulaiman berkata bas itu dilengkapi dua komponen iaitu ruang berhawa dingin dan terbuka selain mempunyai ciri informasi pelancongan serta menggunakan e-tiket.

"Perkhidmatan bas itu akan melalui enam hentian di kawasan tumpuan pelancongan iaitu bermula di Melaka Sentral, Zoo Melaka, Quayside, Menara Taming Sari, Muzium Kapal Selam dan Dataran Klebang dengan laluan sejauh 47 kilometer bagi satu pusingan.

"Sebanyak tujuh lagi Bas Singgah-Singgah akan beroperasi selewat-lewatnya hujung tahun ini bagi memastikan perkhidmatan itu dapat diperluaskan di lokasi-lokasi pelancongan," katanya.

Beliau berkata sebagai permulaan, rakyat di Melaka berpeluang menikmati perkhidmatan Bas Singgah-Singgah itu secara percuma bermula hari ini hingga penghujung Mei ini.

-- BERNAMA