Jabatan Imigresen (JIM) akan membatalkan Pas Lawatan Jangka Panjang warga asing termasuk ekspatriat sekiranya mereka enggan membayar kos kuarantin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kengganan mereka berbuat demikian boleh membantutkan usaha kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19.

“Dalam perkara ini, JIM memberi amaran akan membatalkan Pas Lawatan Jangka Panjang yang dimiliki oleh warga asing berkenaan sekiranya mereka enggan membayar kos kuarantin tersebut.

“Antara jenis pas yang terlibat ialah Pas Suami atau Isteri kepada warganegara, Pas Lawatan Kerja Sementara, Pas Lawatan Ikhtisas, Pas Penggajian (ekspatriat), Pas ‘Malaysia My Second Home’ (MM2H) dan lain- lain kategori,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Pada 24 Julai lalu, kerajaan telah mengarahkan semua rakyat Malaysia yang pulang ke negara ini dan warga asing yang diberi kebenaran masuk, dikuarantin selama 14 hari.

Bagaimanapun bagi warga asing, mereka dikehendaki menanggung sepenuhnya kos kuarantin berkenaan berbanding rakyat tempatan yang hanya perlu menampung sebahagian daripada kos terbabit.