PEMIKIR ingin menyatakan sokongan penuh kepada gesaan dan bantahan yang dibuat oleh badan bukan kerajaan (NGO),  nelayan dan beberapa ahli Parlimen agar kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan projek tambakan laut Penang South Reclamation atau (PSR) yang kini dinamakan Penang South Islands (PSI) untuk tujuan komersial. PSR atau PSI adalah satu projek kerjaan negeri yang turut melibatkan satu projek berskala besar iaitu Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, atau juga dikenali sebagai Penang Transport Master Plan (PTMP). PTMP telah dicadangkan sebagai penyelesaian kepada masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang. Akan tetapi, sebahagaian besar daripada komponen dalam PTMP adalah berasaskan pembinaan tiga lebuh raya baharu dan kurang perhatian diberikan untuk menambah baik sistem pengangkutan awam yang sedia ada. Lebuh raya baharu ini akan menggalakkan lebih banyak lagi penggunaan kenderaan persendirian pada masa depan. Selain itu, PTMP ini juga melibatkan pembinaan satu terowong bawah air (undersea tunnel) dan satu laluan LRT yang dibina melalui kawasan perumahan dan perbandaran yang pesat.

Ketika PTMP mula diumumkan pada tahun 2015 oleh kerajaan negeri, projek ini bernilai RM 27 bilion. Sekarang projek PTMP dianggarkan bernilai RM46 bilion – hampir dua kali ganda. Untuk menjana dana untuk PTMP, projek PSR telah diperkenalkan bertujuan untuk kerajaan negeri menjual tanah tambakan tersebut kepada pemaju yang menawarkan harga yang tertinggi. Pakar infrastruktur Kanada telah memberi amaran bahawa PTMP terlalu berisiko untuk pelabur kerana ianya disatukan dengan projek PSR. Kos penambakan PSR dianggarkan sebanyak RM11 bilion dan akan mengambil masa 20 tahun untuk disiapkan. Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang perlu dibatalkan kerana ia akan memberi kesan serius dan negatif kepada sosiokonomi serta alam sekitar.

Perkara berikut perlu diberi perhatian yang serius:

• Langkah-langkah “offset”  yang dicadangkan oleh pemaju sebagai penggantian untuk habitat semulajadi yang bakal dimusnahkan oleh penambakan adalah tidak memadai dan tidak mempunyai keupayaan untuk menggantikan fungsi habitat semulajadi.
• Tempat pendaratan penyu – kehilangan sepenuhnya
• Terumbu karang Pulau Rimau – separuh akan hilang
• Kawasan pantai berlumpur (mudflat) – kehilangan sepenuhnya
• Kawasan perikanan – separuh akan hilang
• Semua Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di atas penting untuk Sistem Sokongan Hidup (life support system) demi pemuliharaan kawasan ini dan untuk keperluan masyarakat.

Tidak meragukan lagi bahawa projek penambakan PSR akan memberi banyak kesan negatif yang berkekalan bukan sahaja kepada kekayaan biodiversiti yang ada di kawasan tersebut, malah sumber bekalan ikan di Pulau Pinang dan juga sumber pencarian nelayan pantai di Pulau Pinang, utara Perak dan selatan Kedah akan turut terjejas. Pengeluaran ikan dari hatcheri dan akuakultur sahaja tidak akan mencukupi untuk memenuhi permintaan makanan populasi sekarang dan masa hadapan. Satu pembangunan yang tidak peka kepada kesan negatif yang berkekalan ke atas biodiversiti dan keselamatan makanan bukanlah pembangunan yang patut dilaksanakan. Kurang pemahaman tentang kepentingan pembangunan lestari akan membawa kepada kemusnahan sosioekonomi dan biodiversiti.



*Datuk Muhamad Farid Saad adalah Pengerusi Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (PEMIKIR).

**Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.