KUALA LUMPUR:“Batal sebarang acara makan-makan atau majlis keramaian.”

Itu permohonan Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman susulan lonjakan kes harian COVID-19 yang dicatatkan pada Khamis.

Beliau menyarankan agar mana-mana pihak yang telah merancang mengadakan kenduri dalam tempoh terdekat supaya membuat beberapa perubahan bagi mengelakkan peningkatan jangkitan dalam kalangan komuniti.

“Secara drastiknya, serta-merta saya mohon pada mereka yang telah merancang melakukan majlis keramaian atau kenduri dan sebagainya, perlu membuat modifikasi.

“Ia untuk mengelakkan penularan di peringkat komuniti. Maksud saya, sekiranya kita telah merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan, bagi saya perlu dibatalkan sebarang acara makan-makan di dalam majlis tersebut.

“Mungkin kita boleh mencadangkan tuan rumah untuk menyediakan bungkusan makanan, kita masih lagi meneruskan majlis tersebut tetapi elakkan sebarang potensi untuk masyarakat berkumpul,” jelas beliau.

BACA: Pakar kesihatan rayu campur tangan Agong henti PRU15, barisan hadapan tertekan

BACA: COVID-19: Apa akan jadi jika kes aktif melebihi kapasiti maksimum hospital?

Sementara itu, beliau turut merayu agar pemimpin politik tidak mengemukakan cadangan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat.

“Sebaliknya menumpukan kepada memperkasakan komuniti masing-masing di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) agar memastikan setiap individu melaksanakan pencegahan dan kawalan bagi memabntu barisan hadapan turunkan kes-kes sedia ada,” ujarnya.

Terdahulu, penularan pandemik COVID-19 dalam negara terus menunjukkan peningkatan dengan jumlah jangkitan terbaharu dalam tempoh 24 jam adalah sebanyak 3,027 kes.

Lonjakan kes tertinggi itu menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam negara kini meningkat kepada 128,465.

BACA: COVID-19: Jumlah kes aktif kini lepasi 25,000, ini perincian sidang media KKM

BACA: COVID-19: 3,027 jangkitan baharu, 8 kematian dilaporkan


Buletin AWANI Khas: COVID-19 | Malaysia catat kes harian baharu tertinggi