KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor akan memberikan baucar buku Kita Selangor bernilai RM200 kepada mahasiswa di negeri itu pada minggu hadapan, sekali gus menunaikan lima janji yang ditawarkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Ogos lepas.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia merupakan perkara terakhir daripada lima tawaran yang dijanjikan dalam manifesto Tawaran Kita Selangor dalam tempoh 100 hari pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Beliau berkata kerajaan negeri di bawah pimpinannya telah pun melaksanakan empat perkara iaitu insentif Mama Kerja berjumlah RM1,000 kepada wanita, pengecualian cukai pintu, kenaikan elaun imam, bilal dan siak serta insentif pertanian sebanyak RM1,000.

"Kita dah penuhi dalam tempoh 100 hari kesemua janji. Insya-Allah kita tekad untuk meneruskan beberapa perkara lain lagi yang akan diumumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Jelajah MADANI Bersama Menteri Sumber Manusia siri ketiga yang dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar di Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Gombak di sini hari ini.

Gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) Selangor memberi jaminan melaksanakan lima perkara yang dijanjikan dalam manifesto Tawaran Kita Selangor dalam tempoh 100 hari jika diberikan mandat dalam PRN Selangor pada 12 Ogos.

Gabungan dua parti gergasi politik tanah air itu berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu, Amiruddin berkata pelbagai berita baik menanti rakyat negeri ini dalam Belanjawan Selangor 2024 yang akan dibentangkan pada 10 Nov nanti.

Beliau berkata ia termasuk mengembangkan industri-industri tertentu, menambah insentif kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran dan berkaitan dengan perkembangan agama Islam.

-- BERNAMA