Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) berpandangan tempoh enam bulan memadai bagi memantau prestasi syarikat kontraktor dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) baharu perlombongan dan pengeksportan bauksit.
Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata jika dalam tempoh itu syarikat terbabit tidak berkemampuan maka tindakan sewajarnya akan diambil termasuk mempertimbangkan penamatan lesen kontraktor terlibat.
“Kita akan gunakan SOP dengan cara yang ketat. Tetapi mereka kena ikut SOP yang telah ditetapkan oleh kita. Kementerian dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang telah pastikan sesiapa sahaja yang memohon lesen, mereka perlu mengikut SOP yang ada.
“Jika tidak, kita (Kementerian) akan menamatkan (kontrak) mereka serta merta syarikat berkenaan…sebab itu kita ada bagi enam bulan untuk lihat SOP akan digunakan sepenuhnya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) yang ingin tahu pemantauan kerajaan dalam memastikan syarikat yang diberi lesen perlombongan patuh kepada SOP baharu tersebut.
Bagi menguji keberkesanan SOP yang baharu itu, Xavier berkata kerajaan negeri Pahang bersetuju hanya beberapa operator sahaja dibenarkan beroperasi di kawasan Gebeng, Kuantan selepas mendapat kelulusan yang ditetapkan.
Menjawab soalan asal Che Alias mengenai hasrat kementerian untuk melaksanakan SOP baharu itu, Xavier berkata SOP tersebut telah mengenakan syarat ketat bermula daripada proses permohonan, pengangkutan, ‘stockpile’ berpusat dan pengeksportan.
Antara syarat yang perlu dipatuhi oleh penggiat industri adalah kelulusan laporan Environmental Impact Assessment (EIA), saiz minimum tapak lombong dan pemprosesan bijih bauksit.