TELUK INTAN: Kerajaan negeri memandang serius pembiakan spesies ikan baung ekor merah di Sungai Perak secara berleluasa yang mampu memusnahkan keseluruhan hidupan asal jika tidak dibendung segera.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata kesemua nelayan darat diminta mendaratkan ikan baung ekor merah tanpa mengira saiz untuk mengeluarkan ikan itu daripada perairan umum Sungai Perak dan sungai-sungai lain.

Beliau berkata pembiakan berleluasa ikan itu atau nama saintifiknya Hemibagrus Wyckioides mula dikesan Mac tahun lepas apabila sangkar menternak ikan itu pecah.

"Ikan baung ekor merah (adalah) kategori pemangsa agresif dan makan hampir semua jenis ikan di habitatnya, jadi sumber ikan tempatan seperti ikan kelah, temoleh, jelawat, lampam, sebarau serta udang galah akan terganggu ekosistemnya.

"Malah saya difahamkan ikan yang berasal dari Sungai Mekong, Vietnam ini mampu membesar sehingga 130 sentimeter dengan berat maksima mencecah 80 kilogram dan rekod yang pernah didaratkan oleh nelayan ialah 15 kilogram," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jeti Nelayan Darat Sungai Kerawai dekat sini pada Khamis.

Terdahulu, beliau menyampaikan Sijil Malaysia Book of Records kepada Jabatan Perikanan Perak sempena Program Pelepasan Benih Ikan/Udang Galah terbesar ke perairan umum dengan lebih empat juta ekor benih dilepaskan sejak Mac lepas hingga bulan ini.

Pada 29 Mac tahun lepas, dianggarkan lebih 250 sangkar sebuah syarikat penternakan ikan di Teluk Intan pecah akibat arus deras Sungai Perak, sekali gus menyebabkan beratus ribu ikan pelbagai jenis seperti talapia merah, patin, baung dan jelawat putih serta 30 tan metrik ikan baung ekor merah terlepas.

-- BERNAMA