Umat Islam diminta sentiasa memberikan gambaran ajaran kesejahteraan, keamanan dan sentiasa memahami agama lain.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keharmonian yang dibawa Islam juga menolak persepsi negatif ia sebuah agama berunsur keganasan.

Katanya, cabaran itu seharusnya diselami setiap umat Islam selain memastikan ajaran murni itu tersebar di kalangan masyarakat.

"Tetapi untuk memberikan gambaran Islam sebenarnya, Islam adalah kesejahteraan, keamanan bukan keganasan, bukan lawan agama lain kita mahu Islam dihormati dengan makna sebenarnya dan pada waktu sama kita mahu memahami agama lain," katanya semasa berucap pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri stesen televisyen AlHijrah di sini hari ini.

Pada majlis sama AlHijrah turut memperkenalkan AlHijrah Big Studio (ABS) yang bakal menjadi lokasi utama studio rakaman stesen itu.

Ia sekali gus menjadi antara studio terbesar di Asia Tenggara yang menyediakan perkhidmatan fasiliti ruang rakaman termoden di sini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa rakyat di negara ini supaya menolak golongan anti-Islam dan pihak yang bersengkongkol dengannya.

Najib berkata umat Islam tidak boleh berkompromi dengan hal itu kerana adalah menjadi kewajipan untuk memperjuangkan Islam demi memastikan syiar Islam terus berkembang di negara ini.