“Hanya kesihatan yang membolehkan saya bekerja lebih masa bagi memastikan mendapat gaji bersih yang cukup untuk menampung belanja keluarga saya, setelah menolak kos sewa permit,” ujar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia berusia 28 tahun itu.
Mohamad memandu teksi di ibu negara sejak dua tahun lalu. Setiap bulan, dia tidak boleh lari daripada tanggungan kos sewa teksi syarikat lebih kurang sebanyak RM700.
Selain itu, dia juga perlu melunaskan sewa rumah dan bil (RM800), bayaran ansuran motosikal (RM250), barang dapur (RM400), keperluan anak (RM400) dan bayaran ansuran barangan rumah lain (RM300).
“Untuk cukup-cukup makan, saya perlu meraih paling minimum RM150 sehari. Kalau lebih rajin dan rezeki menyebelahi, pemandu teksi boleh meraih pendapatan kasar bulanan yang mencecah RM5,000.
“Namun, bukannya kita dapat pelanggan yang ramai setiap hari. Tak tolak lagi hari berehat, kos sakit pening dan kos selenggara. Dulu pernah dapat BR1M untuk tukar tayar pun agak membantu sedikit,” ujar Mohamad yang berharap peluang mendapatkan permit teksi persendirian terbuka untuknya.
Mohamad cuba menarik nafas tenang setiap malam selepas selesai bekerja. Namun menilai untuk jangka masa panjang, ada kebimbangan besar yang menghantuinya.
“Isteri saya sekadar pembantu di kedai makan. Sekarang ini dia tidak bekerja kerana menjaga anak bongsu kami yang masih kecil. Tidak lama lagi mereka akan membesar dan bersekolah. Keperluan makan pakai mereka semakin tinggi.
“Saya mencongak, adakah saya akan terus bekerja sebagai pemandu teksi untuk menampung keperluan kami sekeluarga?
“Macam mana nanti bila anak-anak melanjutkan pengajian ke tahap lebih tinggi? Dalam masa 10 tahun lagi, bagaimana pula dengan harga barangan keperluan di pasaran?” ujarnya dalam sedikit nada keluhan.
Mohamad mahu terus sihat agar dia dapat bekerja lebih masa bagi menampung keperluan keluarganya. - Gambar fail
Tekanan menjalani kehidupan di bandar seperti yang dirasai Mohamad turut dikongsi seorang pegawai perhubungan awam yang hanya mahu dikenali dengan nama Nur.Berhijrah ke ibu negara dari Mantin, Negeri Sembilan sejak setahun setengah yang lalu, wanita berusia 25 tahun itu kini tinggal menyewa di Cheras dan mengaku kehidupan di Kuala Lumpur sangat memerlukannya berbelanja seminimum mungkin.
“Pendapatan bersih yang saya terima adalah lebih kurang RM2,500 sebulan. Untuk privasi dan keselesaan, saya menyewa bilik tidur utama dalam sebuah apartmen pada harga RM500,” ujar pemegang diploma jurusan komunikasi tersebut.
Setiap bulan, Nur juga mengenepikan RM200 lagi untuk bil asas termasuk telefon bimbit, barangan dapur (RM200), kos pengangkutan awam (RM200) dan makanan serta barangan keperluan diri (RM500) dan menghantar wang kepada ibu bapa dan adik-adiknya (RM400).
Dengan baki pendapatannya, Nur merasakan jumlah itu cukup-cukup untuk membayar perbelanjaan kecil lain sementara menunggu tarikh gaji berikutnya.
“Paling teruk, saya cuba mengikut kaedah paling mudah iaitu menyimpan 10 peratus daripada gaji saya setiap bulan.
“Namun, dalam keadaan kecemasan, terutamanya yang melibatkan keluarga, ia akhirnya akan dibelanjakan juga,” kata Nur yang sedar dirinya bulum layak mengikat komitmen bayaran ansuran membeli rumah atau kenderaan sendiri.
Ramai orang yang bekerja di bandar-bandar besar merasakan keperitan berikutan kenaikan kos sara hidup. - Gambar fail
Sukarnya untuk menyimpanKeadaan yang dialami individu seperti Mohamad dan Nur merupakan refleksi jutaan lagi rakyat di negara ini yang cuba mencari penyelesaian tentang kelangsungan hidup mereka di bandar-bandar besar.
Ini memang bukan satu isu baru. Namun, tumpuan dan pendekatan yang baru perlu dibuat oleh pucuk pimpinan negara. Alangkah sesuai jika hal kritikal ini dapat diberi perhatian dalam Perhimpunan Agung UMNO yang kebetulan membuka tirainya hari ini.
Dalam buku The Colour of Inequality tulisan Muhammed Abdul Khalid, analisis kekayaan yang berdasarkan kelayakan akademik menunjukkan bahawa semakin tinggi tahap pendidikan bagi ketua isi rumah, semakin tinggi perolehan pendapatan secara purata.
Namun hakikatnya, komposisi masyarakat di bandar-bandar tidaklah kesemuanya memerlukan khidmat orang yang berpendidikan tinggi semata-mata. Pelbagai bidang lain menawarkan ribuan peluang kerjaya untuk diisi oleh mereka yang berkelayakan akademik lebih rendah.
Namun, bagaimanakah golongan tersebut mahu menyeimbangkan pengurusan kehidupan bandar dan kos-kos yang terangkai bersamanya? Memang sukar bagi mereka untuk menabung demi masa depan dalam persekitaran yang tidak menentu.
Dalam perspektif yang lebih luas, kelangsungan hidup yang perit di bandar bukan lagi dirasai satu-satu kaum di negara ini. Dalam setiap kaum, ketidaksamarataan ekonomi berlaku dan ini ketara ditanggung oleh mereka yang hidup di bandar.
The Colour of Inequality tulisan Muhammed Abdul Khalid.
Hal tersebut diungkapkan dalam hasil kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) melalui penerbitan Laporan Keadaan Isi Rumah 2014 awal bulan ini. Memetik kandungannya, isi rumah di Malaysia mempunyai simpanan pendapatan yang terhad.‘Kesedaran yang rendah’ terhadap amalan menyimpan meletakkan mereka dalam situasi yang sangat membimbangkan. Kesannya amatlah ketara jika berlaku penyusutan pendapatan, risiko pengangguran atau ketika menghadapi kes-kes kecemasan lain.
Istilah ‘kesedaran yang rendah’ itu walau bagaimanapun membangkitkan kemarahan. Golongan masyarakat yang tertekan di aras bawah piramid ekonomi tentunya menjeritkan alasan; "Siapa yang tidak mahu menyimpan? Bagaimana hendak menyimpan kalau semuanya habis untuk belanja wajib bulanan?"
Permasalahan itu antara lain disumbangkan kesan rantaian kos sara hidup yang meningkat, dan antara penyumbangnya adalah sentimen di pasaran yang bertunjangkan harga petrol.
Ketidakcernaan rakyat tentang maksud dan mekanisme kawalan serta penarikan subsidi langsung tidak mengubah keadaan mereka menjadi lebih selesa, apatah lagi harga barangan keperluan harian saban tahun sebenarnya ‘dikawal’ oleh pihak yang mengambil kesempatan.
"Kami tidak perlu disumbat dengan statistik ekonomi itu dan ini. Kami cuma mahu kerajaan beri saluran penyelesaian untuk memudahkan kami melunaskan tanggungan belanja harian. Tunjukkan kami alternatif," laung mereka yang sebahagiannya putus asa dengan usaha mengawal kenaikan harga barang.
Berdasarkan laporan yang sama, lain pula situasinya bagi isi rumah yang berpendapatan lebih tinggi.
Mereka mempunyai kelebihan untuk menyimpan dan seterusnya simpanan itu menjana pulangan yang menambahkan kekayaan. Ini jelas melebarkan jurang antara kelompok berkemampuan dengan mereka yang miskin.
Statistik yang mengejutkan adalah peratusan kecil pelabur ASB yang dalam kelompok teratas dilaporkan memiliki kekayaan sehingga lebih 1,000 kali ganda berbanding gabungan pelaburan semua kelompok terbawah yang membentuk 80 peratus!
Sejauh manakah warga kota dapat melepaskan diri daripada terus tergolong dalam kategori miskin bandar? - Gambar fail
Hidup ‘selesa’ dengan berhutang?Soal simpanan yang terhad dalam kalangan rakyat negara ini adalah perkembangan yang membimbangkan. KRI turut melaporkan bahawa keinginan golongan yang berpendapatan rendah untuk memiliki barangan pengguna mendorong mereka untuk meminjam ataupun berhutang.
Dalam realiti kewangan yang tidak kukuh, barangan seperti televisyen, peti sejuk, mesin basuh, motosikal, kereta tetap mahu dimiliki lalu semua itu dibayar pada harga yang tinggi berikutan dibeli secara kredit.
Dalam perkembangan lain, data daripada dana pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) tahun lalu menunjukkan bahawa 71.4 pelabur hanya memiliki purata sejumlah RM554. Malang sekali ia tidak kekal lama dalam pelaburan kerana akan digunakan juga akhirnya.
Perbezaan pendapatan dan kekayaan juga begitu jelas ditunjukkan melalui data daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Dalam kalangan hampir tiga juta ahlinya, 44 peratus menunjukkan rekod simpanan yang rendah.
Sementara kira-kira 5,000 ahli KWSP yang kaya memiliki purata simpanan RM1.5 juta, 13.5 peratus pula memiliki purata pendapatan RM3,580.
Walaupun laporan menunjukkan peningkatan signifikan aras pendapatan bagi 40 peratus isi rumah terendah, namun secara keseluruhannya ia belum membebaskan mereka daripada dihenyak tekanan kos sara hidup.
Mereka yang meraih kurang daripada RM4,000 sebulan membentuk 55 peratus manakala kelompok 23 peratus yang lain meraih kurang daripada RM2,000 sebulan.
Secara perbandingan, 10 peratus isi rumah tertinggi yang meraih RM10,000 sebulan dalam keadaan yang lebih selesa dan dilihat mampu bertahan dalam impak kos sara hidup yang melonjak.
Laporan yang dikeluarkan KRI juga menunjukkan bahawa purata harga rumah di Malaysia tidak berada dalam kategori mampu milik kerana ia adalah 5.5 kali ganda lebih tinggi pendapatan median (pertengahan) tahunan isi rumah.
Suara hati rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup tinggi di bandar diharap dapat disampaikan dengan jelas di Perhimpunan Agung UMNO 2014. - Gambar fail
Suara hati rakyatPerhimpunan Agung UMNO bakal bermula. Inilah peluang untuk pucuk pimpinan tertinggi organisasi politik itu mendengar keluh-kesah, bukan sahaja tentang kisah pemantapan dalaman parti malah mengenai harapan Bumiputera dan seterusnya keseluruhan rakyat negara ini.
Khabarnya, individu-individu di kerusi tertinggi UMNO juga lebih sedia dan mahu lebih terbuka dalam menilai hal-hal yang bakal diketengahkan setiap perwakilan.
Bagi perwakilan yang memilih untuk membentangkan isu kemiskinan bandar, rakyat mengharapkan agar suara hati mereka benar-benar dibawa ke dewan perhimpunan tersebut.
Rakyat perlu dijelaskan lanjut tentang pelaksanaan projek rumah-rumah mampu milik, pengawalan kenaikan harga dan penguatkuasaannya, pelaksanaan GST, peningkatan perkhidmatan dan kemudahan awam, penawaran skim modal buat usahawan kecil, pemerkasaan program PPR serta lain-lain lagi.
Rakyat juga mahu jawapan melegakan agar membolehkan mereka menanda senarai semak janji-janji manifesto yang ditabur dalam pilihanraya yang lalu.
Semua itu lebih penting berbanding seharian mendengar senandung ucapan retorik atau pantun-pantun emosi yang tidak membina.