MALAYSIA
Polis tahan dua anak, isteri pengamal perubatan, rampas 35kg ganja

Mohd Yusoff (dua,kiri) menunjukkan dua pucuk pistol yang dirampas dalam dua serbuan di Ketereh, Kota Bharu (kiri) dan Pengkalan Kubor, Tumpat (kanan) semasa sidang akhbar pada Ahad. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Polis menahan dua beradik tiri bersama ibu mereka dan merampas 35 kilogram (kg) ganja mampat serta sepucuk pistol bersama peluru serta kelonsong di Kampung But, Ketereh di sini.
Ringkasan AI
- Tiga Individu Ditahan Bersama 35kg Ganja & Senjata Api: Polis menahan dua beradik tiri dan ibu mereka di Kampung But, Ketereh, serta merampas 35kg ganja mampat, sepucuk pistol Glock, peluru dan kelongsong dalam serbuan awal pagi.
- Rampasan Bernilai RM420,000: Turut disita empat kenderaan mewah dan dadah yang mampu menampung keperluan 35,000 penagih, dipercayai disimpan di rumah sebelum diedar melalui kurier.
- Siasatan & Rekod Sindiket: Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952; dua suspek lelaki positif dadah, dan sindiket dipercayai aktif sejak 2023 selepas ketua kumpulan dipenjarakan.
"Pemeriksaan di rumah menemukan enam kotak berisi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja dan dua beg berisi dadah sama seberat 35kg bernilai kira-kira RM299,590.
"Turut dirampas sepucuk pistol jenis Glock bersama 16 butir peluru dan satu kelongsong, dianggarkan bernilai RM5,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Mohd Yusoff berkata turut disita empat kenderaan iaitu BMW 523i, Mercedes-Benz C200, Perodua Bezza dan Naza Ria dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM116,000, menjadikan anggaran jumlah rampasan mencecah RM420,000.
Sindiket itu dipercayai aktif sejak 2023 dan menggunakan rumah sebagai lokasi penyimpanan sebelum diedarkan melalui perkhidmatan kurier, dengan jumlah dadah dirampas boleh digunakan kira-kira 35,000 penagih.
Beliau berkata suspek dipercayai meneruskan kegiatan pengedaran dadah selepas ketua kumpulan itu dipenjarakan apabila ditahan polis pada 2023.
Dua beradik itu didapati positif methamphetamine serta ketamin manakala wanita itu negatif, dan semua mereka kini direman tujuh hari bermula 6 Ogos untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952
Dalam kes berasingan, Mohd Yusoff berkata Polis Gerakan Am (PGA) Batalion 7 merampas sepucuk pistol jenis Revolver, 30 butir peluru hidup dan satu kelongsong daripada sepasang suami isteri warga Thailand di sebuah rumah di Pengkalan Kubor pada 25 Julai.
Pasangan suami isteri berusia 40 dan 30 tahun itu didapati tidak memiliki lesen senjata api sah dan memasuki Malaysia secara haram.
Beliau berkata mereka ditahan untuk siasatan mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Akta Imigresen 1959/63.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami