SHAH ALAM : Kerajaan negeri menawarkan tabungan RM100 setahun kepada bayi yang lahir di Selangor menerusi Iltizam Anak Selangor (Anas).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, seramai 7,654 bayi yang lahir di Selangor pada tahun lepas hingga Mac lepas layak menerima manfaat itu.

Menurutnya, Anas masih dibuka kepada lebih 20,000 bayi sehingga hujung tahun ini.

"Tabungan RM100 setahun akan diberikan sehingga bayi berkenaan berumur lima tahun.

"Sumbangan ini dimasukkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime bagi membantu persediaan pendidikan, " katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Rabu.

Ujar beliau, Bajet Selangor 2023 memperuntukkan RM3 juta untuk menjayakan Anas dengan sasaran 30,000 bayi menerima RM500.

Ujar beliau, bayi yang lahir di Selangor bermula 2022 dan menetap di negeri ini selain merupakan warganegara boleh memohon di anas.yawas.com.my segera. - Sinar Harian