SHAH ALAM: Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian membabitkan dua pasangan tertukar bayi di sebuah hospital swasta di Seksyen 13, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata kedua-dua pihak, bapa kepada dua bayi berkenaan, antaranya suami kepada usahawan dalam talian Siti Suriani Wahiddin, telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 9 pagi tadi.

"Pihak polis IPD Shah Alam telah menjalankan siasatan awal dan pihak kami telah merujuk kepada bahagian perundangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan juga bahagian perundangan JSJ Bukit Aman dan telah diputuskan bahawa kes ini, tiada unsur jenayah yang berlaku," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

BACA: Bayi tertukar di hospital swasta, ibu mahu ambil tindakan undang-undang


Tertukar Bayi | Polis terima laporan isu tertukar bayi

Menurut laporan media, suami Siti Suriani menyedari nama ibu pada tanda nama di kaki bayi tersebut bukan nama isterinya semalam, tetapi nama wanita lain yang dipercayai turut melahirkan bayi di hospital sama.

Terdahulu, Siti Suriani atau lebih dikenali sebagai Siti Jamumall, melahirkan bayi lelaki di sebuah hospital swasta di Seksyen 13 Shah Alam, awal pagi kelmarin (11 Jun) manakala tanda nama di kaki bayi itu tertera nama wanita lain dan waktu dilahirkan pada 3.02 petang, 10 Jun (Khamis).

Tanpa menyedari bayi berkenaan tertukar, pihak hospital telah membenarkan Siti Suriani serta bayi tersebut pulang ke rumah semalam.

Kejadian berkenaan tular menerusi media sosial berikutan perkongsian Siti Suriani di Facebook (FB) Live pada 7.40 malam semalam yang mendapat 1.3 juta tontonan dengan 40,000 tanda reaksi, 56,000 komen dan dikongsi 37,000 kali.

Menerusi FB Live itu, Siti Suriani turut memaklumkan beliau sudah menemui semula bayinya.

-- BERNAMA