KUALA TERENGGANU: Sebanyak 122 sampel makanan berisiko tinggi di bazar ramadan seluruh Terengganu diambil oleh Jabatan Kesihatan Negeri untuk dianalisis.

Menurut pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong, sampel yang diambil itu membabitkan menu yang menggunakan santan, aneka kerabu dan sebagainya.

Langkah yang dilakukan itu turut bertujuan untuk memastikan kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual adalah terjamin.

"Kalau kita melihat sampel-sampel yang kita ambil ini sebenarnya memang kita buat pemilihan juga, kita akan memilih sampel-sampel yang berisiko tinggi terutama kalau kita lihat menggunakan santan, kerabu, kuih-kuih yang berkuah, kita merasakan ianya berisiko tinggi," katanya.

Jelasnya lagi, seramai 64 anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut menjalankan pemeriksaaan di lapangan sepanjang bulan Ramadan ini.

Sementara itu Dr Kasemani berkata pihaknya juga telah mewujudkan sistem kod QR bagi memudahkan orang ramai membuat aduan mengenai kualiti makanan dengan lebih mudah dan pantas.

Sistem berkenaan boleh diimbas di pintu masuk setiap bazar Ramadan yang berdaftar.