PUTRAJAYA: Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di Presint 14, Putrajaya mendapat sambutan mengalakkan daripada pengunjung sejak dilancarkan beberapa hari lalu.

Tinjauan Astro AWANI mendapati hampir setengah daripada peniaga di BRR Presint 14 memperkenalkan harga Menu Rahmah di samping menu dengan harga pasaran.

Setiap gerai boleh dilihat jelas pelekat Menu Rahmah sebagai tanda penglibatan mereka dalam inisiatif kerajaan itu dengan juadah seperti roti john, murtabak, kuih-muih sehinggalah nasi ayam golek dijual di bawah harga RM5.00.

BRR Presint 14 antara menjadi lokasi tumpuan pengunjung sejak dilancarkan. Gambar: Astro AWANI

Bagi peniaga air buah-buahan, Mohd Ammar Adli Abdullah, 37, kewujudan Program Rahmah di bazar Ramadan dilihat berjaya menarik lebih ramai pengunjung berbanding bazar Ramadan kebiasaan.

"Sebab bagi saya pelanggan banyak pilihan dengan harga lebih murah, jadi pelanggan lebih gembira membeli-belah.

"Sebenarnya pelanggan yang datang dilihat lebih berani untuk membeli dengan harga Rahmah dan harga yang mampu," jelasnya.

Juadah dengan harga Menu Rahmah mendapat sambutan dikalangan pengunjung.Gambar: Astro AWANI

 Peniaga set nasi campur, Nor Fathiyah Surindar Abdullah, 61, terpaksa menanggung kerugian akibat jualan menu Rahmah tidak terjual. Gambar: Astro AWANI

Namun, ada juga peniaga yang berdepan kerugian akibat juadah Menu Rahmah yang tidak terjual.

Bagi peniaga set nasi campur, Nor Fathiyah Surindar Abdullah, 61, nasi minyak yang dijualnya dengan harga Rahmah dilihat tidak menjadi pilihan pembeli.

"Dalam Menu Rahmah makcik ada sambal telur dan sedikit gulai daging dengan nasi minyak. Namun tiada sambutan. Kalau ada yang hendak beli banyak pun boleh, makcik tidak tentukan had untuk pembelian Menu Rahmah," jelasnya.

Meskipun berdepan kerugian, juadah yang tidak terjual akan disedekahkan atau dibawa untuk makan sendiri.

"Makcik sedekahkan atau dibawa makan di rumah sahaja," katanya.

BRR menjadi produk terbaharu menerusi inisiatif Payung Rahmah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Sebanyak 38 lokasi BRR dilancarkan di seluruh negara dengan kerajsama peniaga melalui libat urus KPDN dalam menawarkan harga Menu Rahmah sebagai usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.