Beberapa pemimpin kanan parti politik dilihat memasuki Bangunan Perdana Putra sejak jam 10 pagi ini, difahamkan untuk mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara yang kelihatan ialah Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, pada pukul 10.24 pagi ini.

Turut dilihat, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Turut mencuri tumpuan media ialah kehadiran bekas Timbalan Presiden PKR yang juga bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, serta Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Dua pemimpin ini sebelum ini dilaporkan merupakan perancang utama dalam usaha menggabungkan beberapa parti politik dominan, dalam usaha membentuk kerajaan baharu.

Dr Wan Azizah melambai ke arah pemberita semasa memasuki bangunan Perdana Putra pagi ini. - Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Terdahulu, Dr Mahathir, yang memulakan hari pertama sebagai Perdana Menteri Interim, dilihat memasuki Bangunan Perdana Putra seawal 9.30 pagi.

Hanya Anwar sahaja yang dilihat memasuki pintu utama, manakala pemimpin politik lain memasuki bangunan menerusi pintu berlainan.