Beijing mahu lebih banyak syarikat milik China melabur di Malaysia kerana kedua-dua negara berusaha untuk mencapai jumlah perdagangan dua hala yang mencecah AS$160 bilion (RM528 bilion) menjelang 2017.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Naib Perdana Menteri China Zhang Gaoli menyatakan perkara itu pada pertemuan mereka semasa mesyuarat dua hala di pejabat beliau di Great Hall of the People di sini, Isnin.

Kedua-dua negara komited untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan ketika China terus menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia, katanya kepada wartawan Malaysia selepas pertemuan dengan rakan sejawatannya.

Beliau berkata Beijing juga menyokong dan akan membantu Malaysia apabila ia menjadi pengerusi Asean pada tahun depan, yang bakal menyaksikan rantau itu berubah menjadi Komuniti Asean.

Mengenai sektor pelancongan, Muhyiddin berkata Kuala Lumpur berharap dapat menarik lebih ramai daripada 500 juta pelancong China pada tahun-tahun akan datang.

Beliau berkata mesyuarat itu turut membincangkan usaha memerangi keganasan.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menemui Menteri Pendidikan China Yuan Guiren di pejabat beliau di sini.

Muhyiddin berkata Beijing bersetuju untuk menyediakan guru bahasa Mandarin ketika Malaysia merancang untuk memperkenalkan bahasa Mandarin di sekolah kebangsaan sebagai satu daripada bahasa ketiga tahun depan.

"Malaysia memerlukan 30,000 guru bahasa Mandarin jika ia mahu menyediakan sekurang-kurangnya tiga guru bahasa Mandarin di 10,000 sekolah," kata beliau.

Kuala Lumpur, katanya juga meminta Beijing untuk menyediakan guru pakar Matematik untuk Malaysia setelah China menghantar 500 guru pakar Matematik ke United Kingdom baru-baru ini.

"Kepakaran China dalam teknik pengajaran Matematik menarik United Kingdom dan kami mahu mereka memanjangkan tawaran itu kepada kami," kata Muhyiddin.

Muhyiddin adalah dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke China.