KUALA LUMPUR: Tiada makanan yang lebih diyakini bersih dan selamat daripada bekal yang dibawa dari rumah.

Itulah konsep yang menginspirasikan Foodpanda untuk menjadi satu-satunya kumpulan penghantaran makanan yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui divisyen halal khas dikenali sebagai Bekal by Foodpanda.

Bekal by Foodpanda menghantar secara eksklusif makanan disahkan halal yang dipesan daripada aplikasi foodpanda dan memastikan kesucian serta integriti halal produk terjamin dari dapur hingga ia sampai ke tangan pelanggan.

Ia bermula pada 2017 apabila foodpanda menubuhkan sebuah entiti berasingan untuk mengurus penghantaran makanan halal, kemudian dibentuk Jawatankuasa Halal Dalaman untuk memberi perhatian khusus kepada proses memohon sijil halal yang digerakkan pada 2020.

“Aspek halal diberikan penekanan oleh bukan sahaja pelanggan dan penghantar, tapi juga penjual atau vendor di mana kebanyakan vendor yang mendapat pensijilan halal mahukan produk mereka dapat dipastikan sampai kepada pelanggan menggunakan cara yang halal dan patuh syariah.

“Maka itu yang menggerakkan kami untuk berusaha mendapatkan sijil halal daripada JAKIM supaya setiap peringkat dalam perkhidmatan kami diperakui dan diyakini kehalalannya,” kata Pengerusi Jawatankuasa Halal Bekal by Foodpanda, Amri Mohd Sham.

Di samping pematuhan terhadap ajaran agama dan kepedulian terhadap aspek kebersihan dan keselamatan makanan, penekanan terhadap hal ehwal halal juga menjadi faktor penting yang memangkin pertumbuhan ekonomi negara.

Penghantar bekal by foodpanda diberi beg khas dan latihan pengetahuan dan pematuhan asas halal termasuk proses sertu.

Industri halal dijangka akan menyumbang 8.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan berupaya menjana hasil eksport kira-kira RM56 bilion mengikut Rancangan Malaysia Ke-12.

Dikenalpasti sebagai sektor yang strategik dan berimpak tinggi, pembangunan industri halal tempatan bersedia untuk menjengah pasaran halal global yang dianggar boleh mencecah RM22.34 trilion menjelang 2030.

Ini dilihat Bekal by Foodpanda sebagai peluang untuk bukan sahaja mengembangkan perniagaan syarikat tetapi memainkan peranan yang lebih besar untuk membawa usahawan lain bersama merancakkan industri ini.

“Kita memulakan proses mendapatkan pensijilan halal ini sejak tiga tahun lalu dan memulakan projek rintis pada Oktober 2022 dengan membuat penghantaran di sekitar Putrajaya sebelum diberi sijil halal pada Disember 2022,” maklum Amri.

Dengan sijil halal yang diterima, Bekal by Foodpanda juga mahu berfungsi sebagai satu saluran kepada insentif dan bantuan kerajaan terhadap ekosistem vendor halal yang semakin berkembang, merancang untuk menyediakan latihan kepada vendor makanan dan minuman yang berusaha mendapatkan sijil halal.

Bagi menjayakan hasrat tersebut, Bekal by Foodpanda menubuhkan Sekolah Latihan Pengendali Makanan yang diperakui oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita ada pelatih bertauliah yang bersedia untuk membantu melatih golongan berpendapatan sederhana, B40 serta usahawan mikro, kecil dan sederhana yang berhasrat untuk mendapatkan sijil halal.

"Selain daripada kelas pengendalian makanan, kita juga berhasrat mengadakan latihan untuk meluaskan pandangan mereka dalam melihat peluang dan potensi dalam industri halal ini,” jelas Amri.

Bagaimana untuk memesan makanan dengan Bekal by Foodpanda? Tak perlu muat turun aplikasi lain, ia ada pada karusel khas halal pada laman utama dan pilih sahaja daripada vendor-vendor yang ditag halal pada platform tersebut.

Ketika ini Bekal by Foodpanda sedang meluas di kawasan sekitar Putrajaya dan liputannya dijangka tersebar ke Lembah Kelang pada Julai akan datang seterusnya ke seluruh negara menjelang penghujung tahun ini.

Seluruh rakyat Malaysia akan dapat menikmati perkhidmatan bekal by foodpanda menjelang akhir tahun ini.