KUALA LUMPUR:Bekalan air di semua 861 kawasan terjejas berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2, 3 dan Rantau Panjang, telah pulih sepenuhnya.

Semua kawasan terbabit dalam Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor, telah menerima bekalan air stabil sejak jam 3 pagi tadi.

"Air Selangor ingin mengucapkan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan kepada petugas barisan hadapan Air Selangor di kesemua wilayah yang terjejas," kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan pagi ini.

Terdahulu, bekalan air di semua kawasan tersebut terjejas berikutan pencemaran air mentah di Sungai Selangor sejak Selasa.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian berkata, pembuangan air kolam ternakan ikan keli secara haram dikenal pasti punca pencemaran bau yang mengakibatkan LRA Rantau Panjang dan LRA SSP 1, 2 dan 3 terpaksa dihenti tugas kira-kira 11.30 malam, 8 Disember lalu.