MELAKA: Bekalan air di Melaka dijangka mampu bertahan hingga Ogos ini walaupun negeri itu berdepan cuaca panas ketika ini dan kemungkinan fenomena El Nino kuat yang diramal berlaku pada Jun.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusof berkata setakat ini, paras air di tiga empangan utama di negeri itu iaitu Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah dan Empangan Jus serta Empangan Asahan di Jasin sentiasa mencatatkan bacaan kapasiti maksimum.

"Kerajaan negeri telah mengambil langkah awal untuk memastikan semua kawasan tadahan air termasuk di tiga empangan utama di Melaka berada pada paras maksimum ketika ini dan bersedia menghadapi fenomena El Nino.

"Kita juga menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) bersedia untuk melaksanakan penyuraian pembahagian bekalan air ke seluruh negeri ini secara berjadual dan ini merupakan satu daripada pelan jangka pendek sekiranya berlaku kemarau," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata setakat Selasa lepas, paras air di Empangan Durian Tunggal mencatatkan bacaan 99.7 peratus manakala Empangan Jus dan Asahan merekodkan paras air 100 peratus.

Semalam, media melaporkan fenomena El Nino kuat dijangka bermula Jun apabila keadaan cuaca akan berubah disebabkan kehadiran monsun barat daya yang cuacanya dicirikan dengan keadaan kering dan panas.

-- BERNAMA